KSL catat peningkatan untung bersih kepada RM114.7 juta pada 2QFY24 dipacu sumbangan projek pembangunan utama di Johor, Selangor | DagangNews Skip to main content

KSL catat peningkatan untung bersih kepada RM114.7 juta pada 2QFY24 dipacu sumbangan projek pembangunan utama di Johor, Selangor

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - KSL Holdings Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih kepada RM114.7 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) berbanding RM109.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya dipacu peningkatan sumbangan daripada beberapa projek utama dalam segmen pembangunan hartanah di Johor dan Selangor.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku itu bagaimanapun susut sedikit kepada RM320.9 juta berbanding RM325.2 juta pada 2QFY23.

 

"Prestasi suku semasa ini disumbangkan terutamanya oleh projek utama di Johor Bahru, Kluang dan Klang iaitu Taman Bestari Indah, Taman Kempas Indah, Taman Mutiara Bestari, KSL Residence @Kangkar Tebrau, KSL Avery Park, Taman Mengkibol, Bandar Bestari Klang dan 18 Madge," katanya.

 

Untung bersih bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24) meningkat kepada RM215.6 juta berbanding RM200.5 juta disokong hasil sebanyak RM649.2 juta berbanding RM605.1 juta pada 

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, ekonomi Malaysia dijangka mengalami peningkatan pada tahun 2024.

 

Katanya, pertumbuhan ini dijangka disokong oleh perbelanjaan domestik yang teguh, peningkatan dalam aktiviti pelancongan, projek infrastruktur berbilang tahun yang berterusan, dan pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk negara.

 

"Sehubungan itu, kumpulan itu optimis terhadap peningkatan dalam sektor hartanah.

 

"Bagaimanapun, ketidaktentuan geopolitik global yang berterusan dan kesan inflasi ke atas kos pembinaan terus menimbulkan cabaran kepada operasi perniagaan dalam sektor hartanah.

 

"Kami terus memantau kecekapan kos operasi dan mengekalkan kepekaan kami terhadap sentimen pasaran apabila melibatkan masa dan harga pelancaran projek baharu pelancaran," katanya. - DagangNews.com