KSM akan gubal undang-undang khusus untuk pekerja gig ekonomi | DagangNews Skip to main content

KSM akan gubal undang-undang khusus untuk pekerja gig ekonomi

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Nov - Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan meneliti keperluan semasa untuk menggubal satu perundangan khusus dalam masa terdekat bagi mengawal selia pekerja gig ekonomi seperti penghantar makanan dan pemandu e-hailing di negara ini.

 

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, setakat ini, pekerja gig hanya mendapat perlindungan sosial di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

 

"KSM telah mengikuti isu mengenai kawal selia perundangan pekerja gig di negara ini sama ada yang ditimbulkan menerusi media atau ketika sesi parlimen selain mengikuti perkembangan terkini di United Kingdom mengenai keputusan Mahkamah Agung mengenai status pekerja gig.

 

saravanan
M. Saravanan

 

"KSM juga akan memperhalusi keputusan mahkamah di United Kingdom yang menyatakan pekerja gig layak mendapat hak-hak pekerja dan sama ada ia boleh dipakai dan disesuaikan untuk mengawal selia pekerja gig di Malaysia," katanya.

 

Semalam di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, memberitahu bahawa pekerja gig ekonomi di negara ini tidak termasuk di bawah definisi pekerja seperti yang dinyatakan di bawah Akta 265, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).

 

Beliau memberitahu tiada rekod atau pemfailan kes buruh berkaitan golongan pekerja gig yang boleh digunakan sebagai penandaarasan (test case) yang membolehkan pekerja ekonomi gig menikmati manfaat seperti pekerja di bawah definisi undang-undang buruh di Malaysia.

 

Sistem pekerjaan gig dan kontrak perkhidmatan yang dipersetujui menjadikan pekerja gig ekonomi tidak tertakluk di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020.-DagangNews.com