KSM bekerjasama dengan ILO bangunkan Pelan Tindakan Nasional mengenai Buruh Paksa | DagangNews Skip to main content

KSM bekerjasama dengan ILO bangunkan Pelan Tindakan Nasional mengenai Buruh Paksa

PUTRAJAYA 28 Julai - Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Pertubuhan Buruh 
Antarabangsa (ILO) sedang dalam proses membangunkan Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL) bagi tahun 2021 hingga 2025. 

 

Menurut KSM, pembangunan NAPFL ini telah melalui beberapa siri perbincangan bermula sejak tahun 2019 dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

 

Menurutnya, NAPFL ini akan menjadi pelengkap kepada Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang 2021-2025 (NAPTIP) yang telah dilancarkan oleh Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO), Kementerian Dalam Negeri pada 31 Mac 2021.

 

"Justeru, KSM selaku Pengerusi kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Pemerdagangan Buruh di bawah MAPO, telah memulakan pembangunan NAPFL ini sebagai salah satu inisiatif Kementerian bagi menangani serta membasmi isu buruh paksa dalam negara," kata kementerian itu dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Selain itu, dalam usaha untuk memastikan pelan tindakan ini dibangunkan  secara menyeluruh serta mengambil kira situasi sebenar dalam negara, KSM telah memuat turun draf dokumen NAPFL ke laman web (https://www.mohr.gov.my/index.php/ms/) mulai 27 Julai 2021 bagi mendapatkan pandangan dan komen daripada semua pihak berkepentingan termasuk orang awam. Tarikh tutup bagi mengemukakan pandangan dan komen adalah pada 6 Ogos 2021. 

 

KSM menjangkakan NAPFL ini akan dilancarkan sebelum akhir tahun ini, dan boleh dijadikan sebagai panduan kepada semua pihak khususnya majikan bagi memastikan tiada elemen buruh paksa dalam 
rantaian perniagaan mereka.

 

"NAPFL ini juga mencerminkan komitmen berterusan KSM untuk memastikan isu buruh paksa dalam negara dapat ditangani secara kolektif dan efektif," kata kementerian. - DagangNews.com