KSM melarang campur tangan pihak ketiga dalam urusan permohonan pekerja asing | DagangNews Skip to main content

KSM melarang campur tangan pihak ketiga dalam urusan permohonan pekerja asing

PUTRAJAYA 9 Okt - Kementerian Sumber Manusia (KSM) melarang campur tangan pihak ketiga untuk menyelesaikan masalah-masalah berkaitan dengan permohonan pekerja warga asing yang dihadapi oleh para majikan di negara ini.

 

"Sebarang campur tangan pihak ketiga hanya akan merumitkan proses permohonan serta terdedah kepada salah laku seperti rasuah atau kebocoran maklumat yang berkaitan hingga menyebabkan kelewatan dalam proses permohonan," kata KSM dalam kenyataan di sini.

 

Kementerian telahpun melaksanakan pelbagai inisiatif dan langkah yang terbaik dalam menangani masalah berkaitan dengan permohonan pekerja asing, namun hal ini sentiasa diputar belit dan dipolitikkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

Kementerian Sumber Manusia cakna dan memahami akan permasalahan di lapangan serta berupaya untuk menguruskan isu-isu yang dihadapi oleh para majikan berkaitan permohonan pekerja asing ini.

 

Kementerian Sumber Manusia juga sentiasa terbuka dengan sebarang input yang diberikan oleh mana-mana pihak dalam menambah baik dan memudahkan proses permohonan pekerja asing.

 

"Oleh itu, majikan adalah dinasihatkan untuk terus berhubung dengan Kementerian Sumber Manusia bagi sebarang permasalahan yang dihadapi dalam memohon pekerja asing.

 

"Bagi mana-mana majikan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM ([email protected]) di talian 03-88852939/2940 atau Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia ([email protected]). - DagangNews.com