KTMB sediakan empat tren ETS tambahan sempena Aidilfitri dan Hari Pekerja | DagangNews Skip to main content

KTMB sediakan empat tren ETS tambahan sempena Aidilfitri dan Hari Pekerja

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mac - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan empat Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tambahan sempena sambutan Aidilfitri dan Hari Pekerja pada tahun ini.

 

KTMB dalam kenyataan memaklumkan, perkhidmatan ETS tambahan melibatkan perjalanan dari KL Sentral ke Padang Besar dan ke KL Sentral serta laluan KL Sentral-Butterworth-KL Sentral pada 19 hingga 25 April 2023.

 

Katanya, jualan tiket ETS tambahan akan mula dijual pada pukul 10 pagi tadi.

 

"Tren tambahan itu menawarkan 1,260 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan tiket sebanyak 13,860 tiket yang ditawarkan termasuk koc kelas perniagaan dalam tempoh tersebut.

 

"Tiket sedia ada yang telah ditawarkan pada tarikh-tarikh tersebut adalah sebanyak 109,890," katanya.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penambahan 4 perkhidmatan ETS ini adalah berikutan tiket-tiket yang ditawarkan bagi sektor Padang Besar, Butterworth, Ipoh dan KL Sentral telah habis dijual pada tarikh 19 April sehingga 25 April. 

 

“Dengan adanya tren tambahan ini, saya berharap penumpang dapat balik kampung dengan lebih selesa tanpa perlu menghadapi kesesakan lalu lintas," katanya.

 

Para pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan dan mengelakkan daripada kehabisan tiket.

 

Orang ramai digalakkan mendapatkan tiket secara dalam talian dan melihat jadual tren disediakan melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau di laman web KTMB www.ktmb.com.my bagi pembelian tanpa tunai yang lebih mudah dan pantas.

 

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau saluran media sosial rasmi KTMB. - DagangNews.com