Kuala Kangsar bakal diangkat sebagai tapak warisan kebangsaan, dunia | DagangNews Skip to main content

Kuala Kangsar bakal diangkat sebagai tapak warisan kebangsaan, dunia

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Nov - Kuala Kangsar yang cukup terkenal dengan gelaran Bandar Diraja bakal diangkat sebagai warisan kebangsaan pada masa akan datang.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, Kuala Kangsar kemudiannya akan dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

 

"Kerajaan negeri ada mengadakan perbincangan dengan Jabatan Warisan Negara menjadikan Kuala Kangsar sebagai warisan kebangsaan terlebih dahulu kerana ia penting sebelum dicalonkan kepada UNESCO. 

 

"Kami berharap usaha ini akan berjaya dalam masa terdekat ini," katanya selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2021, di Dewan Jubli Perak di sini.

 

Turut hadir Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin; Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Zulqurnain Mohamad dan Pengarah PlanMalaysia @ Perak, Asni Mustafa.

 

Nolee Ashlin berkata, usaha itu juga bagi memartabat dan mengiktiraf warisan Istana Bukit Chandan sebagai Tapak Warisan Bernilai Tinggi.

 

Katanya, ia merupakan salah satu daripada projek pemacu yang akan dibentangkan dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kuala Kangsar 2035 (penggantian).

 

Projek pemacu kedua ialah Pusat Pelancongan Sauk-Chenderoh dan Pusat Kreatif Sayong, ketiga ialah Pembinaan Susur Keluar Masuk Baharu ke Lebuhraya Utara Selatan dan Peningkatan Hubungan Antara Bandar.

 

Dalam perkembangan berasingan, Nolee Ashilin berkata, kedatangan pelancong ke negeri ini menunjukkan prestasi yang baik khususnya di Pulau Pangkor.

 

Katanya, walaupun kes COVID-19 masih menunjukkan turun naik tetapi ia tidak menjejaskan aktiviti pelancongan di Perak.

 

"Pengusaha dan pemain industri lega apabila aktiviti pelancongan rancak terutamanya di Pulau Pangkor, Kuala Kangsar dan Ipoh.

 

"Penginapan hotel misalnya di Ipoh kita dapati 97 peratus penginapan hampir penuh ditempah," katanya.-DagangNews.com