Kuala Lumpur, Subang Jaya, Johor Bahru, Pulau Pinang jadi tumpuan ketika permintaan terhadap Airbnb catat peningkatan | DagangNews Skip to main content

Kuala Lumpur, Subang Jaya, Johor Bahru, Pulau Pinang jadi tumpuan ketika permintaan terhadap Airbnb catat peningkatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jan - Pemintaan untuk penginapan jangka panjang di Airbnb secara global mencatatkan peningkatan sebanyak 44% pada suku ketiga 2021 (Q32021) dan ia terus mencatatkan peningkatan sehingga minggu lalu.

 

Pengurus Besar Airbnb bagi India, Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan, Amanpreet Bajaj berkata, destinasi tumpuan ramai di Malaysia untuk penginapan jangka panjang lebih banyak tertumpu kepada Kuala Lumpur, Subang Jaya, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

 

Katanya, meskipun permulaan tahun 2022 terdapat cabaran varian baharu Omicron namun ia dilihat tidak akan menjadi penghalang kepada kebangkitan semula sektor pelancongan di negara ini.

 

Beliau berkata, Malaysia berada pada landasan betul untuk pemulihan sektor pelancongan dengan usaha menangani isu pandemik itu sudah dimulakan sejak dua tahun lalu dan kini hampir 98% populasi dewasa sudah menerima suntikan vaksinasi dan kerajaan masih menjalankan pemantauan terhadap protokol kesihatan.

 

"Menerusi pengenalan Program Malaysia Digital Nomad dalam Bajet 2022 dan program DE Rantau untuk menjadi negara ini sebagai Hab Digital Nomad dilihat akan menjadi pemangkin kepada usahawan tempatan untuk kembali memajukan sektor pelancongan negara.

 

"Pada tahun baharu ini, kami menyasarkan untuk membantu lebih ramai usahawan hospitaliti Malaysia dan berkongsi aspirasi 'Keluarga Malaysia' bersama pengunjung yang hadir. 

 

Amanpreet berkata, keselamatan merupakan keutamaan Airbnb dan ia mendapat sokongan daripada Majlis Pengembaraan dan Pelancongan Dunia dan Persatuan Perubatan Malaysia.

 

airbnb

 

Dalam pada masa sama katanya, Airbnb juga mempunyai protokol kebersihan yang ketat dalam memastikan proses pembersihan dan sanitasi dijalankan mengikut garis panduan yang ditetapkan kepada hos. 

 

"Minggu lalu, Airbnb melancarkan Program Sokongan Tetamu COVID-19 dalam usaha meringankan bebanan mangsa yang tidak dapat memenuhi tempahan mereka kerana sekatan perjalanan yang tidak dijangka. 

 

"Dalam situasi ini tetamu yang tidak dapat memperoleh bayaran balik penuh berdasarkan kepada polisi pembatalan hos, Airbnb akan memberikan kupon potongan harga sebanyak 50% daripada kos tempahan.

 

"Sektor pelancongan menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang sangat baik pada 2022, kami menyokong visi 'Keluarga Malaysia' untuk memastikan tiada usahawan pelancongan yang ketinggalan dan kami komited bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia dalam mewujudkan kerangka kerja untuk sewaan jangka pendek bagi membolehkan usahawan membantu merancakkan sektor pelancongan," katanya. - DagangNews.com