Kuasa penetapan harga semakin berkurangan, CGS-CIMB kekal penarafan 'underweight' terhadap sektor sarung tangan | DagangNews Skip to main content

Kuasa penetapan harga semakin berkurangan, CGS-CIMB kekal penarafan 'underweight' terhadap sektor sarung tangan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Dis - CGS-CIMB Research mengekalkan penarafan 'underweight' terhadap sektor sarung tangan getah selain menyifatkan kuasa penetapan harga yang semakin berkurangan bagi pengeluar sarung tangan Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia disebabkan persaingan serantau yang mungkin kepada margin keuntungan lebih rendah bagi jangka masa panjang.

 

Walaupun menjangkakan industri akan menghasilkan keuntungan menjelang 2025, unjuran keuntungan bersih kelihatan tidak memberangsangkan berbanding penilaian semasa.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Supermax Corporation Berhad dan Kossan Rubber Industries Berhad sambil mengekalkan penarafan 'kurang' terhadap Hartalega Holdings Berhad dan Top Glove Corporation Berhad.

 

Firma penyelidikan itu menekankan tiga pemerhatian negatif utama dalam industri sarung tangan yang mungkin berterusan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan termasuk pengeluar sarung tangan Malaysia mengahdapi kesukaran persaingan harga kerana struktur kos rendah pengeluar dari China dan Thailand.

 

Katanya, keuntungan baharu yang ditetapkan menerusi pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) mendangkan kuasa harga yang semakin berkurangan selain peningkatan inventori sarung tangan berikutan timbunan bekalan ketika pandemik yang mengehadkan peningkatan jumlah dalam tempoh terdekat.

 

"Ini boleh menghadkan peningkatan dalam kadar penggunaan industri," katanya dalam satu nota kajian.

 

CGS-CIMB menganggarkan empat syarikat utama (Top Glove, Kossan, Supermax dan Hartalega) berubah daripada kerugian agregat RM456 juta pada 2023 kepada keuntungan sederhana RM21 juta pada 2024 berkembang kepada keuntungan bersih RM568 juta pada 2025.

 

“Kami menganggarkan EBITDA bagi setiap 1,000 keping sarung tangan tempatan pulih kepada antara 85% hingga 95% daripada purata pra pandemik pada 2025.

 

"Kami juga menjangkakan beberapa variasi kepada pemulihan dalam kadar penggunaan, diketuai oleh Hartalega kerana ia telah mengalami pengurangan kapasiti terbesar. 

 

"Kami percaya Top Glove dan Supermax mungkin masih mempunyai banyak lebihan kapasiti, justeru kadar penggunaannya boleh pulih dengan lebih perlahan,” katanya. - DagangNews.com