Kuching Selatan, potensi nilai pembangunan tinggi  | DagangNews Skip to main content

Kuching Selatan, potensi nilai pembangunan tinggi 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Zon Kuching Selatan, Sarawak berpotensi menawarkan nilai pembangunan yang tinggi, menurut Maybank Investment Bank Research (Maybank IB).

Susulan itu, kawasan berkenaan menjadi antara tumpuan utama untuk projek pembangunan oleh satu-satunya pengeluar simen dan pembekal bahan binaan utama di Sarawak, Cahya Mata Sarawak Berhad (CMS), pasca COVID-19.

Jelas Maybank IB, CMS turut menyasarkan pembinaan rumah mampu milik dan pembangunan tanah milik syarikat itu di Kuching dan Samalaju. 

“Namun, sasaran penjualan tanah CMS di kawasan pembangunan Bandar Samariang dijangka selesai pada penghujung tahun 2021 dengan sentimen pembeli kekal mendatar akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setakat tahun kewangan 2019, hasil jualan tanah berkenaan mencatatkan nilai RM9 juta,” kata Maybank IB. 

Nilai aset bersih CMS bagi Bandar Samariang mencecah RM38.1 juta, Bandar Kuching (RM66.1 juta ), Isthmus (RM71.4 juta) dan Taman Perindustrian Samalaju (RM116.3 juta).

 

cahya mata
PERNIAGAAN yang dijalankan oleh CMS.

 

Walaupun operasi CMS terpaksa ditutup selama dua bulan akibat PKP, namun syarikat itu menjangkakan keuntungan bagi tempoh lima tahun syarikatnya kekal mencatatkan RM500 juta.

Separuh daripada angka itu, RM250 juta merangkumi hasil daripada bisnes teras iaitu simen, bahan dan dagangan binaan, penyelenggaraan jalan dan pembangunan hartanah.

“Maybank IB menjangkakan CMS mencatatkan kerugian pada separuh kedua 2020 tetapi ini bukan sesuatu yang baharu kerana semua pemain industri pembinaan turut terjejas ketika PKP.

“Walapun operasi syarikat terjejas, tetapi pelaburan CMS tetap kukuh. Sebagai satu-satunya pengeluar simen dan pembekal bahan binaan di Sarawak, CMS mempunyai kelebihan daripada peruntukan infrastruktur yang dibelanjakan di negeri itu,” tambah Maybank IB. - DagangNews.com