Kukuhkan ekonomi, hutang kerajaan dijangka cecah 64.2% | DagangNews Skip to main content

Kukuhkan ekonomi, hutang kerajaan dijangka cecah 64.2%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 April - Kerajaan dijangka terus meningkatkan lagi perbelanjaan demi merancakkan pemulihan ekonomi pada tahun ini. 

 

Kenanga Research menggambarkan situasi itu menerusi unjuran hutang kerajaan yang dijangka berkembang kira-kira 64.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2021. 

 

Peratusan ramalan itu lebih tinggi daripada unjuran awal antara 57.0% hingga 59.0%, dan lebih tinggi daripada kadar hutang bagi tahun lalu, 62.2%, menurut Kenanga. 

 

“Berdasarkan perbelanjaan bagi dua bulan pertama tahun ini yang lebih tinggi, suntikan ekonomi tambahan dan pengenalan undang-undang darurat baharu, kami menjangkakan defisit akan terus meningkat dalam masa terdekat memandangkan kerajaan cenderung untuk meningkatkan perbelanjaan untuk ekonomi. 

 

“Buat masa ini, kami melihat sasaran kerajaan untuk mengurangkan kadar hutang kepada KDNK pada tahap 58.5% bagi tahun ini akan menjadi sesuatu yang sukar,” jelas Kenanga dalam nota kajiannya.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan menyemak naik unjuran defisit fiskal kepada 6.3% (unjuran Kementerian Kewangan:6.0%) yang lebih tinggi berbanding rekod tahun 2020, 6.2%, dan daripada ramalan awal, 5.8%. 

 

Setakat Februari 2021, baki keseluruhan fiskal kerajaan persekutuan menyaksikan tahap defisit RM24.4 bilion, 74.0% lebih tinggi berbanding tempoh sama bagi tahun lalu, RM14.0 bilion. 

 

Ini memandangkan pertumbuhan perbelanjaan sebanyak 16.2%, jauh berbeza dengan penyusutan hasil, iaitu -8.4%. 

 

Apatah lagi, kerajaan pada 17 Mac lalu melancarkan pakej rangsangan ekonomi keenam iaitu Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai R20.0 bilion dengan suntikan langsung berjumlah RM11.0 bilion. 

 

Sementara itu, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021 yang digazetkan pada 31 Mac lalu membenarkan Kementerian Kewangan dan ketua menteri di setiap negeri untuk meluluskan perbelanjaan tambahan, luar daripada belanjawan awal 2021 tanpa kelulusan Parlimen.

 

Dalam perkembangan dasar monetari, Kenanga tidak melihat peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) akan berlaku dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya menjelang pertengahan tahun 2022. 

 

Jelas Kenanga, walaupun firmanya menjangkakan pertumbuhan ekonomi dua digit bagi suku kedua 2021 (2Q21), namun risiko penurunan masih ada terutamanya kes COVID-19 yang kian meningkat.

 

Baca : Ekonomi suku kedua berkembang 14.3%, ramal Kenanga

 

“Sekiranya ini berlaku, kitaran untuk dasar monetari yang longgar akan bermula semula memandangkan BNM ada ruang cukup untuk menurunkan kadar faedah.

 

“BNM dijangka mengekalkan OPR pada kadar 1.75% bagi sepanjang tahun ini, didorong oleh prospek pertumbuhan lebih baik dan inflasi yang kian meningkat. 

 

“Ketika wujudnya penjualan di pasaran bon global dan dasar kadar faedah yang sangat rendah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), pendirian dasar BNM dijangka tidak berubah,” tambah Kenanga. - DagangNews.com