Kuliah di masjid kian lengang, tinggal geng pesara  | DagangNews Skip to main content

Kuliah di masjid kian lengang, tinggal geng pesara 

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

INI pendapat saya yang sudah kembali ke Malaysia dan pergi ke banyak masjid untuk mengikuti kuliah atau ceramah. Selain mengikuti percakapan penceramah, saya mengikuti ustaz-ustaz yang selalu dibayar oleh masjid dan belajar untuk menghayati.

 

Kuliah di masjid banyak bagus dari kekurangan, namun hanya berapa orang yang sanggup mendengar kerana kesibukan bila balik rumah dari kerja. Selalunya sudah letih dan untuk bersama keluarga untuk makan atau keluar. Apalagi di hujung minggu.

 

Tinggallah pesara bersama pesara yang lain, hanya kadang-kadang tidak sampai 10 orang untuk mendengar sambil tertidur. Untuk apa pesara yang tinggal hayat beberapa tahun mengubah pendirian?

 

Tidak mengapa, masjid tempat menunaikan solat secara berjemaah walau makin kosong terutama subuh. Masjid yang besar-besar tersergam pun merosot kerana kedudukan yang jauh.

 

Tidak seperti di UAE sewaktu saya tinggal hampir 20 tahun, solat jemaah subuh sentiasa penuh. Mungkin lain tempat, lain keadaan.


 

parafrasa
Masjid Besar Shaik Zayed di Abu Dhabi, UAE. - Gambar  Farhan Khan

 


Satu bentuk ibadat dari sudut kerohanian, masjid menjadi tempat sujud kepada semua ahli kariah sebagai tanda menjadi hamba yang patuh dan taat kepada Allah.

 

Begitu keutamaan masih kepada kerja untuk bangun bersiap dan hanya solat di rumah, kalau pun bersolat. Terutama orang muda yang inginkan kepuasan dalam hidup yang tidak tahu bila berakhir nyawa.

 

Kuliah agama disampaikan pada masa dahulu selepas solat maghrib dan subuh sahaja. Sekarang diadakan atas berbagai landasan dan tema untuk muslim moden yang perlukan bukan sahaja hukum tetapi persoalan kehidupan.

 

Masjid boleh digerakkan untuk mengoptimumkan fungsi sebagai pusat percambahan ilmu dalam erti kata yang lebih luas dalam masyarakat yang dinamik. Tetapi perlukan jemaah untuk hadir dan mengikuti, bukan kosong tanpa pendengar.

 

Sebilangan masjid hanya digunakan untuk kegiatan rutin kuliah yang berlegar kepada ilmu, maklumat, pengetahuan dan isu sekitar akidah, fekah dan ruhiyyah yang semuanya berwajah agama.  

 

Rasanya mungkin tidak sedar  yang ilmu Islam yang luas telah terhad dalam bingkai minda orang masjid yang tidak berubah. Cerita pun mengenai masa lalu di zaman Nabi, orang kurang mengerti, asyik berbalik pada kisah-kisah dahulu.

 

Bagi saya, agama dalam pengertian dan konteks ad-deen harus disampaikan dengan ertinya yang holistik dan mendalam.  Keindahan dan keluasan pengertian Islam dalam kuliah itu sampai kepada masyarakat, untuk yang mendengar dan datang ke masjid, boleh disiarkan secara langsung melalui web, umpama Zoom dan Google Talk.

 

Saya mencadangkan agar ruang kuliah diberikan kepada para ilmuwan mahupun profesional dalam bidang bukan agama yang mempunyai fikiran, jiwa, perasaan, fikrah dan jiwa Islam.


 

parafrasa

 


Golongan yang pakar dan mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman di bidang yang boleh memberikan sudut pandangan, progresif, kritis dan segar terhadap realiti.  Seperti saya yang duduk di luar negara hampir 25 tahun di negara Arab dan punya pengetahuan yang luas, bukan hanya bergelut di tanahair.

 

Saya rasa fikrah dan jiwa Islam golongan profesional tentunya akan membawa roh agama dalam perkongsian yang di berikan, apa lagi bila umur semakin terhad.

 

Bagi saya pendapat yang  masjid seakan menjadi sekular untuk umat Islam sebab membawa fahaman sempit dan batasan yang asalnya komprehensif, inklusif dan holistik untuk difahami.

 

Rasanya pendekatan boleh mewarnakan dan meluaskan lagi tema dan horizon pemikiran masyarakat setempat melalui kuliah, memanggil lebih ramai jemaah untuk ke masjid.

 

Golongan profesional membawa isu semasa di luar masjid dan mengupasnya lebih-lebih lagi dengan pendekatan yang lebih kritis dan segar.

 

Semakin kurang orang untuk mendengar kuliah, ini hanya idea saya sebab tidak semestinya hanya ustaz dan agamawan yang benar-benar tahu fikrah manusia.

 

Jangan bantai saya, hanya pendapat dalam masjid yang semakin kurang untuk berjemaah dan mendengar kuliah.


 

irsyad

 


Saya merasakan jiwa dan fikrah golongan profesional boleh membawa roh dalam perkongsian yang disampaikan apalagi untuk yang berumur dan semakin tua.

 

Isu semasa di luar masjid dapat diulas dengan kritikal dan mendalam untuk renungan pendengar. Boleh dikatakan pendekatan seumpama mewarnakan dan meluaskan lagi tema dan horizon pemikiran.

 

Mungkin masjid di universiti boleh memanggil profesional yang menjadi pensyarah untuk mengimbangi ustaz yang bercakap dalam bidangnya. Rasanya masyarakat perlukan keseimbangan untuk melihat agama yang luas terbentang.

 

Ramai yang berjiwa Islam tinggal di bandar dan boleh berkongsi dengan masjid dengan lebih mudah dan perancangan yang lebih tersusun mengikut ahli masjid. Memerlukan ahli masjid dari pelbagai golongan yang cintakan Islam bukan hanya pihak dengan Islam yang sempit.

 

Bagi keseluruhan idea saya ini, inisiatif dalam menaik taraf bukanlah satu kerja bidaah yang disengajakan. Tidak juga percubaan mengubah fungsi tradisi masjid yang di luar kawalan. Sebenarnya satu ikhtiar untuk mengembalikan masjid kepada peranan dan fungsinya yang sebenar. Bukan hanya bangunan masjid yang indah.

 

Hidup dalam tahun 2023 dan mendatang dengan perubahan orang Islam dengan gajet dan media sosial,  persekitaran moden yang penuh fitnah dan kecelaruan fikrah melanda. Harus memikirkan sepuluh tahun akan datang, makin kosong masjid dan surau yang tumbuh melata.

 

Masjid bukan sekadar untuk beriktikaf, bersolat, tasawuf, fekah, syariat, memahami tauhid,  jinayat dan muamalat untuk orang yang mula bertaubat. Masjid mampu menjadi pusat percambahan ilmu Islam yang tiada terhad pengertian dan cakupannya dalam semua segi dan skop.

 

Banyak ilmu Islam yang boleh dikuliahkan dalam pelbagai sudut, bukan hanya pandangan agama yang sempit.


 

irsyad

 


Bukan semua ustaz belajar teknologi maklumat, pengurusan, biologi, fizik, kimia, sejarah, sains dan teknologi, matematik, psikologi, geografi, perubatan, perakaunan, pemasaran dan bermacam bidang termasuk angkasa lepas dan bintang-bintang.

 

Majlis ilmu ini juga adalah majlis zikir dan fikir umat yang berkesan asalkan pemikiran masyarakat dipertajam dan diperhalusi melalui pendekatan penceramah yang menyajikan perbahasan ilmu secara kritis dan membina.

 

Kita tidak mahu mesej-mesej yang berbaur fitnah berleluasa, apalagi tidak patuh syariah dalam media sosial dan Internet menguasai. Ramai yang mengikuti dan bertempur seumpama wabak penyakit yang mudah berjangkit. Terus mempengaruhi pemikiran masyarakat dan tidak mampu ditangani oleh kuliah dan  majlis ilmu di masjid.

 

Begitu pun pihak masjid terus senang dan selesa dengan rutin dalam format, bentuk, pengisian tradisi sejak zaman sebelum merdeka hingga ke hari ini. Langsung membiarkan agenda Nabi Muhammad yang menjadikan masjid sebagai pusat perkembangan ilmu Islam yang holistik. Apalagi di UAE yang mempunyai kedai dan sentiasa di masuki untuk seperti bisnes dan pendidikan.

 

Mungkin hanya angan-angan dan impian saya dan tidak semudah itu untuk direalisasikan selagi ustaz tertutup fikiran.

 

Harapan ada yang membaca dan memahami pendapat saya, seorang anak ulama yang belajar ilmu sekular di New Zealand, negara Islam nombor satu dunia yang bukan negara Islam! - DagangNews.com

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah kolumnis WAINUIOMATA setiap Khamis di DagangNews.com. KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA