KUALA LUMPUR 7 April - Jemaluang Dairy Valley Sdn Bhd (JDVSB), syarikat usaha sama antara Kulim (Malaysia) Bhd dan A2 Fresh Holdings Sdn Bhd (A2FHSB), dilantik Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk membangun, mengendali dan menguruskan ladang tenusu seluas 275 hektar di Jemaluang, Mersing, Johor.
JDVSB akan memanfaatkan keupayaan Kulim dan A2FHSB untuk membangunkan projek tenusu bertaraf dunia yang memenuhi standard kualiti, keselamatan dan kelestarian tertinggi.
Kulim adalah cabang perniagaan agribisnes Johor Corporation (JCorp), manakala A2FHSB adalah anak syarikat Rhone Ma Holdings Bhd, penyedia penyelesaian kesihatan haiwan menyeluruh.
Kulim akan menjadi pemegang saham terbesar dalam JDVSB dengan 65% kepentingan manakala baki 35% akan dipegang oleh A2FHSB.
Pengarah Kulim, Mohd Faris Adli Shukery berkata, pihaknya teruja kerana telah dilantik oleh ECERDC untuk mencapai visi dalam membina projek tenusu berkualiti tinggi di Jemaluang.
"Dengan gabungan kepakaran dan sumber kami, kami yakin JDVSB akan berjaya dan memberi sumbangan positif kepada masyarakat setempat dan sektor pertanian," katanya dalam kenyataan.
Pengarah A2FHSB, Dr Lim Ban Keong pula berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Kulim untuk mewujudkan projek tenusu yang akan menghasilkan produk tenusu berkualiti tinggi dan berkhasiat untuk rakyat Malaysia.
"Kami berharap dapat membangunkan perniagaan yang mampan, inovatif dan mengutamakan pelanggan yang memberikan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan," katanya.
JDVSB menyasarkan untuk menghasilkan 5.4 juta liter susu segar setiap tahun, yang membawa kepada peningkatan 10% dalam pengeluaran susu segar negara dalam tempoh tiga tahun.
Kemajuan ini diharap dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada susu segar yang diimport. -DagangNews.com