Kumpulan FGV sasar pendapatan tambahan RM6.5 juta selepas peroleh 44 lori baharu | DagangNews Skip to main content

Kumpulan FGV sasar pendapatan tambahan RM6.5 juta selepas peroleh 44 lori baharu


Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Dis - FGV Holdings Berhad (FGV) mengunjurkan pendapatan tambahan sebanyak RM6.5 juta setahun selepas anak syarikatnya, FGV Transport Services Sdn. Bhd., memperoleh 44 lori MAN TGS 6×4 prime mover daripada MAN Truck & Bus (M) Sdn. Bhd..

 

Pertambahan aset baharu itu menyaksikan Kumpulan FGV kini memiliki 560 lori merangkumi 503 unit untuk pengangkutan darat dan 57 unit untuk pengangkutan kurier.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd. Nazrul Izam Mansor berkata, 15 unit pertama daripada 44 lori prime movers telah diterima,dengan unit selebihnya dijangka tiba pada akhir Disember ini.  

 

“Sebagai pemain logistik utama negara dengan aset pengangkutan lebih 500 lori dan 14 hab di seluruh negara, penambahan aset baharu ini akan menyokong Kumpulan dalam memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat untuk pengurusan logistik yang cekap.”

 

“Pembelian ini juga merupakan sebahagian daripada rancangan Kumpulan untuk mengukuhkan perniagaan pengangkutan darat di bawah FGV Transport, dengan unjuran pendapatan tambahan sebanyak RM6.5 juta setahun," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kumpulan FGV kini memiliki 560 unit lori untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk industri logistik.

 

lori

 

Mohd. Nazrul berkata, enjin berkapasiti tinggi MAN Malaysia sesuai untuk operasi mereka yang melibatkan pengangkutan kargo pukal atau cecair dengan kapasiti purata 40 tan metrik setiap perjalanan.

 

“Ia juga dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan termasuk dua brek tambahan yang merupakan komponen penting yang diperlukan dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pemandu kami.

 

“Dengan rekod cemerlang selaku pengangkut minyak sawit mentah terbesar negara sejak beberapa dekad yang lalu, lori baharu ini akan membantu mengukuhkan perniagaan kami di luar Kumpulan FGV yang semakin berkembang seperti dalam sektor pengangkutan rantaian sejuk, minyak dan gas, pengangkutan dan segmen industri," katanya.

 

lori

 

Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks berkata, pihaknya berbesar hari kerana dapat berkhidmat untuk FGV Transport dan ia merupakan tempahan tunggal terbesar bagi Man Malaysia pada 2021.
 

"Kami juga optimis dengan perkembangan syarikat pada 2022, terutamanya dengan pertumbuhan syarikat sebagai pembekal terkemuka bagi penyelesaian pengangkutan pintar dan mampan dengan pelancaran Euro V-powered New MAN Truck Generation kami baru-baru ini,” katanya. - DagangNews.com