Kumpulan MBSB lantik Kuldeep Singh sebagai Ketua Perbankan Borong | DagangNews Skip to main content

Kumpulan MBSB lantik Kuldeep Singh sebagai Ketua Perbankan Borong

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Kumpulan MBSB lantik Kuldeep Singh sebagai Ketua Perbankan Borong membawa bersamanya kerjaya menjangkau lebih 20 tahun dalam sektor tersebut.

 

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam inovasi produk, pengurusan risiko makro yang menguntungkan, menyemak semula amalan perniagaan (FX) global dan menerajui pelaburan fintech proprietari di rantau ini.

 

Sebelum ini beliau telah memegang jawatan kanan di peringkat negara, serantau dan global Citigroup. 

 

Selain itu, beliau juga mempunyai pengalaman mendalam tentang makroekonomi dan implikasinya terhadap pasaran kewangan. 

 

Menerusi peranan baharunya di Kumpulan MBSB, beliau akan menyelia perniagaan borong Kumpulan dan MIDF termasuk perbankan pelaburan, pasaran kewangan, perbankan korporat dan pengurusan aset.

 

Kumpulan MBSB dalam satu kenyataan berkata, beliau akan memberi tumpuan pada kewangan pembangunan merentas kewangan peribadi, perbankan borong dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perbankan pelaburan yang akan memanfaatkan DNA unik Kumpulan.

 

 

kuldeep
        Kuldeep Singh

 

 

"Tanggungjawab beliau menggariskan cita-cita MBSB dalam menyediakan penyelesaian termaju, bersepadu dan lancar kepada Perbankan Korporat di Malaysia," ujar Kumpulan itu dalam kenyataan hari ini. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, kepakaran Kuldeep akan mendekatkan jurang dalam perbankan borong yang sejajar dengan visi Kumpulan pada masa depan. 

 

"Pelantikan Kuldeep adalah bukti komitmen kami terhadap visi Kumpulan menyampaikan pulangan ekuiti dua angka dan untuk mencapainya, kami perlu menyampaikan penyelesaian komprehensif kepada pelanggan kami," ujar Rafe. 

 

Kata MBSB, menerusi pelantikan itu, MBSB kini berada pada kedudukan yang baik dalam mempercepatkan Program Transformasi FLIGHT26 bagi memacu sinergi dan merealisasikan matlamat transformasi.- DagangNews.com