Kumpulan Perangsang Selangor catat untung bersih dua kali ganda lebih rendah berjumlah RM6.26 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Kumpulan Perangsang Selangor catat untung bersih dua kali ganda lebih rendah berjumlah RM6.26 juta pada 3QFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov - Keuntungan bersih Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) merosot dua kali ganda atau 55% kepada RM6.26 juta dalam suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) berbanding RM14 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kemerosotan tersebut adalah berikutan penurunan pendapatan dan kesan kerugian pertukaran mata wang asing, serta kos kewangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, pendapatan pembuat acuan suntikan plastik bersepadu itu menurun 13% kepada RM332.9 juta bagi suku dalam tinjauan itu daripada RM382.8 juta tahun lalu.

 

Pendapatannya pada 3QFY23 berkurangan disebabkan oleh pendapatan lebih rendah dalam semua sektor kecuali untuk pelesenan.

 

“Secara khususnya, sektor pembuatan mengalami penurunan sebanyak RM43.1 juta, sektor infrastruktur dan perdagangan masing-masing merosot sebanyak RM4.2 juta dan RM2.7 juta, dan pelaburan hartanah menurun sebanyak RM300,000,” katanya.

 

Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan itu susut kepada 1.2 sen daripada 2.6 sen sebelumnya.

 

KPS mengisytiharkan dividen interim berjumlah RM5.4 juta, atau 1 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), yang akan dibayar pada 29 Disember 2023.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), keuntungan bersih kumpulan itu merosot lebih dua kali ganda atau 61.5% kepada RM10.39 juta berbanding RM27 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatannya dalam tempoh berkenaan pula berjumlah RM909 juta, menyusut 12% daripada RM1.04 bilion tahun lalu.

 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KPS, Ahmad Fariz Hassan berkata kumpulan itu telah memulakan usaha untuk Toyolas agar terus berkembang dalam sektor berpotensi tinggi dan kurang kitaran seperti penjagaan kesihatan dan boleh diperbaharui.

 

 

Ahmad Fariz Hassan
Ahmad Fariz Hassan

 

 

“MDS Advance juga menggunakan strategi kepelbagaian yang setanding dan secara aktif mencari pelanggan dalam sektor minyak dan gas. Rancangan kami juga termasuk meningkatkan penggunaan kilang pembuatan secara amnya.

 

“Untuk tujuan ini, Toyoplas Indonesia telah mencapai kemajuan dalam mencari pelanggan dari sektor pengguna dan boleh diperbaharui; ia baru-baru ini telah memperoleh pelanggan baharu dalam sektor pengguna,” katanya.

 

Sebagai sebahagian daripada strategi penyesuaian iklim kumpulan, Ahmad Fariz berkata KPS akan memasang panel solar di kilang pembuatannya iaitu Toyoplas dan CPI tahun ini, berikutan kejayaan inisiatif yang sama di Century Bond, dengan sasaran untuk mencapai penjimatan kos elektrik yang ketara.  - DagangNews.com