KUALA LUMPUR 9 Ogos - Malaysia menerima kemasukan kumpulan pertama pekerja warga Bangladesh pagi tadi, menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Saravanan berkata, kemasukan itu adalah susulan daripada memorandum persefahaman (MOU) mengenai penggajian pekerja warga Bangladesh yang telah ditandatangani kedua-dua negara pada 19 Disember 2021.
Beliau berkata, ketibaan para pekerja terbabit disambut Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia dan kumpulan pekerja ini akan digajikan untuk sektor pembuatan.
"Sehubungan dengan itu, pekerja warga Bangladesh dijangka masuk ke Malaysia secara berperingkat mulai hari ini.
"Selain itu, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh pada minggu lalu juga telah mengesahkan permohonan daripada 80 majikan tempatan yang melibatkan penggajian seramai 6,000 warga Bangladesh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, bagi para majikan yang telah membuat bayaran levi kepada Jabatan Imigresen dan bercadang untuk menggajikan pekerja warga Bangladesh, mereka boleh memohon pengesahan penggajian dan dokumentasi seperti kontrak pekerjaan serta pesanan kerja ke Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia. - DagangNews.com