KUALA TERENGGANU 6 Jun - TDM Berhad, anak syarikat kerajaan negeri Terengganu meletakkan sasaran pendapatan lebih RM600 juta pada tahun ini melalui dua segmen perniagaan iaitu perladangan dan penjagaan kesihatan.
Pengerusi Kumpulan TDM, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal berkata, ia adalah peningkatan berbanding RM594.4 juta yang telah diperoleh sepanjang tahun 2023.
Menurutnya, walaupun terdapat sedikit penurunan marginal sebanyak 3.3 peratus berbanding tahun 2022, namun prestasi kewangan kumpulan TDM masih kukuh dalam menghadapi dinamik pasaran yang semakin berkembang.
"Pada tahun lalu, bahagian perladangan mencatatkan penurunan hasil sebanyak 22 peratus yang disebabkan harga purata Minyak Sawit Mentah (CPO) dan Peroleh Isirong Sawit (PK) lebih rendah di pasaran iaitu RM3,939 dan RM2,188 untuk setiap metrik tan.
"Penurunan harga purata CPO dan PK sebanyak 21 peratus dan 34 peratus ini disebabkan harga yang lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelum itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerugian bersih 1QFY24 TDM susut 57.6% kepada RM8.96 juta disokong prestasi positif bahagian penjagaan kesihatan
"Namun, kita menjangka akan memperolehi margin yang lebih baik pada tahun ini malah data menunjukkan setakat April ini, hasil sawit telah meningkat kepada 45 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kumpulan TDM yang diadakan di Elysium Skybridge Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini hari ini.
Ketika ini, TDM Plantation Sdn. Bhd (TDMP) menguruskan sebanyak 13 ladang kelapa sawit, dua buah kilang, dua kilang Bio-Organik dan dua loji Biogas yang terletak di Terengganu.
Selain itu, beliau berkata, segmen penjagaan kesihatan pula terus menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan peningkatan segmen sebanyak 19 peratus pada tahun lalu.
Beliau berkata, kecemerlangan itu didorong oleh peningkatan bilangan pesakit, peningkatan pendapatan purata setiap pesakit dan kadar Penghunian Katil (BOR) yang jauh lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
"Bermula tahun depan, projek pembinaan hospital baharu di Chukai akan bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027.
"Selain itu, kita juga ingin menambah beberapa katil di KMI Kuantan dan setakat ini semua perancangan itu mengikut jadual asal yang telah ditetapkan.
"KMI Healthcare sedang mengembangkan kapasiti melalui pengambilalihan hospital 'brownfield' membangunkan kemudahan 'greenfield' dan mengembangkan pusat perubatan sedia ada secara progresif," katanya.
Di bawah Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare), TDM mempunyai lima hospital pakar yang menawarkan penjagaan sekunder dalam semua bidang utama kesihatan.
Hospital-hospital tersebut adalah KMI Kelana Jaya Medical Centre, Petaling Jaya, Selangor; KMI Kuantan Medical Centre Kuantan, Pahang; KMI Kuala Terengganu Medical Centre, Terengganu; KMI Taman Desa Medical Centre, Kuala Lumpur dan KMI Tawau Medical Centre, Sabah. - DagangNews.com