Kuota minyak masak bersubsidi masih kekal 60,000 tan metrik setiap bulan | DagangNews Skip to main content

Kuota minyak masak bersubsidi masih kekal 60,000 tan metrik setiap bulan

Minyak masak. Kredit foto Harian Metro

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 April - Kerajaan masih mengekalkan kuota minyak masak bersubsidi sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan termasuk tahun 2020 dan 2021.

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengekalan itu dibuat meskipun harga RBD Palm Olien telah meningkat sebanyak 83% kepada RM4,122 per tan metrik pada tahun 2021, berbanding RM2,255 per tan metrik pada tahun 2020.

 

"Ini bersamaan dengan 60 juta paket polibeg 1kg iaitu 1.5kg diperuntukkan untuk setiap rakyat Malaysia termasuk Wilayah Sarawak dan Wilayah Sabah, dan kerajaan turut menambah peruntukan atas dasar komitmen Kerajaan untuk membekalkan 60,000 tan metrik setiap tahun meskipun harga RBD Palm Olien telah meningkat.

 

"Sekiranya kenaikan harga RBD Palm Olien berterusan menunjukkan trend peningkatan, kerajaan menjangka kos akan terus meningkat bagi skim ini, daripada RM400 juta kepada RM1.8 billion.

 

"Oleh yang demikian, keputusan kerajaan untuk mengekalkan kuota dalam program COSS menunjukkan komitmen kerajaan yang tinggi untuk mengurangkan kos sara hidup serta menjamin kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi.

 

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap satu laporan media yang mendakwa kerajaan mengurangkan bekalan minyak masak bersubsidi di Wilayah Sarawak. 

 

Laporan tersebut telah menyatakan kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi berpunca daripada tindakan syarikat pembungkus minyak masak yang tidak jujur dalam membekalkan minyak masak bersubsidi mengikut kuantiti yang telah ditetapkan bagi edaran ke pasaraya dan kedai runcit. 

 

Laporan media tersebut juga menyentuh berkaitan kejayaan kerajaan terdahulu dalam mengurangkan harga gula bertapis untuk kegunaan industri makanan dan minuman kepada RM1.70 dan RM1.80 per kilogram.

 

Jelas laporan itu,  kerajaan sekarang didakwa kurang prihatin sehingga menyebabkan pihak industri makanan dan minuman perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan gula bertapis pada harga RM2.75 per kilogram.

 

Mengulas isu gula tersebut, Alexander memberitahu, pada dasarnya, harga jualan gula domestik adalah dikawal pada harga maksimum iaitu sebanyak RM2.85/kg bagi gula putih bertapis kasar dan RM2.95/kg bagi gula putih bertapis halus bagi jualan secara runcit. 

 

Katanya, harga jualan borong gula untuk kegunaan industri makanan dan minuman pula ditetapkan pada kadar RM2.77/kg bagi gula putih bertapis kasar dan RM2.85/kg bagi gula putih bertapis halus.

 

"Perbezaan pada harga gula yang lebih rendah boleh dinikmati oleh syarikat pengeluar makanan dan minuman berdasarkan kuantiti dan kaedah pembelian yang dipersetujui dengan pembekal serta bergantung kepada harga gula mentah di pasaran dunia tanpa campur tangan kerajaan. 

 

"Syarikat pengeluar makanan dan minuman serta pemborong tempatan boleh membuat permohonan untuk mendapatkan permit mengimport gula bertapis pada bila-bila masa sepanjang tahun.

 

"Permohonan yang memenuhi syarat akan dipertimbangkan secara teliti oleh satu Jawatankuasa Penilaian yang diwakili oleh beberapa agensi Kerajaan yang berkaitan temasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),
Lembaga Pelaburan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya lagi. - DagangNews.com