Kursus pesawat AW189 kelolaan Galaxy Aerospace secara kolaborasi industri tingkatkan kemahiran jurutera aeroangkasa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kursus pesawat AW189 kelolaan Galaxy Aerospace secara kolaborasi industri tingkatkan kemahiran jurutera aeroangkasa Malaysia

Helikopter AW189 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 20 Nov - Syarikat penyelenggaraan pesawat tempatan, Galaxy Aerospace Sdn. Bhd. (Galaxy Aerospace) telah menganjurkan kursus pesawat AW189 (Type Training) menerusi Program Kolaborasi Industri (ICP).

 

Ini merupakan pensijilan pesawat yang diberikan oleh pihak berkuasa penerbangan kepada jurutera Malaysia yang telah menamatkan latihan dan ujian ke atas jenis pesawat tertentu.

 

Ia melibatkan kerjasama dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Technology Depository Agency (TDA), Unikl MIAT, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

 

Kursus ini juga adalah sebahagian daripada program perolehan bagi dua buah helikopter bersaiz besar milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

 

Aw
Timbalan Pengarah CAAM, Mohd Naziran Mohamad (tengah) menyampaikan sijil kepada peserta kursus.

 

Latihan selama 32 hari ini merangkumi pembelajaran secara teori dan praktikal kepada semua para peserta.

 

Dengan adanya kursus ini ia dapat melatih jurutera penerbangan dalam kemahiran melibatkan pesawat helikopter AW189 dibuat dalam negara.

 

Ia sekali gus dapat menjimatkan sehingga separuh kos latihan sama sekiranya kursus dijalankan di luar negara.

 

Pelaksanaan kursus secara dalam negara juga membolehkan pemindahan dan kepakaran teknologi dilakukan sendiri oleh tenaga mahir tempatan.

 

Ini memandangkan industri aeroangkasa merupakan satu industri berteknologi tinggi yang menyumbang besar dalam kemajuan ekonomi negara.

 

Aw

 

Sebagai agensi di bawah Kementerian Kewangan, TDA berperanan bagi mengurus, mentadbir dan memantau semua pelaksanaan kegiatan ICP di Malaysia.

 

Ini bagi mendukung keperluan pembangunan industri dan teknologi tempatan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

 

Pelaksanaan ICP juga merupakan usaha kerajaan untuk menyokong industri tempatan dalam rantaian pembekalan perkhidmatan menerusi latihan.

 

Terdahulu majlis penutup kursus telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Muhammad Razman Abu Samah.

 

Turut hadir Pengarah Urusan Galaxy Aerospace, Dato’ Shamsul Kamar Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Dr. Sharoul Jambari.- DagangNews.com