Kutipan ses bertepatan dengan kenaikan harga minyak sawit | DagangNews Skip to main content

Kutipan ses bertepatan dengan kenaikan harga minyak sawit

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 12 Mac - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjelaskan kenaikan kadar ses yang baharu adalah bertepatan dengan prestasi industri minyak sawit ketika ini. 

 

Pelaksanaan ses itu diluluskan pada 2019 dengan kenaikan RM2 satu tan metrik menjadikan kadar itu RM16 bagi pengeluar minyak sawit mentah dan minyak isirung sawit.  

 

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, keadaan itu adalah sejajar dengan kenaikan harga minyak sawit mentah melebihi RM4,000 satu tan metrik.

 

"Pada 9 Mac 2021, harga minyak sawit mentah meningkat sehingga RM4,022.50 satu tan metrik, tertinggi sejak 4 Mac 2018. 

 

"Ia dijangka kekal stabil berikutan sentimen pasaran yang positif, penurunan stok dan kenaikan eksport," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

MPOB merujuk kepada laporan media yang memetik Persatuan Pemilik Ladang Minyak Sawit Sarawak (SOPPOA) mengenai Perintah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Ses) (Pindaan) (No 2) 2021 yang baru diwartakan berkuat kuasa 1 Mac lalu.

 

Dalam laporan berkenaan, SOPPOA berkata, ses baharu ini yang meningkat sebanyak RM2 kepada RM16 akan mendatangkan kesukaran kepada industri minyak sawit di Sarawak ketika ekonomi merosot dan pandemik COVID-19. 

 

Sejajar dengan cadangan dikemukakan industri, kerajaan bersetuju menggunakan tambahan kutipan ses itu untuk menyokong penubuhan Konsortium Penyelidikan bagi Mekanisasi dan Automasi dalam Industri Minyak Sawit (MARCOP) melibatkan kerjasama antara MPOB dan industri. 

 

Langkah ini, menurut Ahmad Parveez, menunjukkan kerajaan mengambil berat mengenai isu berhubung kekurangan tenaga buruh yang dihadapi industri minyak sawit negara. 

 

Kutipan sebanyak RM30 juta daripada ses ini akan digunakan sebagai pelengkap bagi peruntukan RM30 juta yang disediakan kerajaan menerusi geran pemadanan bagi meningkatkan mekanisasi dan automasi dalam sektor komoditi seperti yang diumumkan ketika Belanjawan 2021. 

 

Beliau berkata, MPOB juga menggunakan kutipan ses ini untuk membiayai operasi dan penyelidikan termasuk di Sarawak, aktiviti promosi, pelaksanaan pensijilan Kelestarian Minyak Sawit Malaysia (MSPO) dan aktiviti-aktiviti lain yang memberi fokus dan menyokong daya saing industri di peringkat global. 
 

"MPOB sudah melabur lebih RM50 juta bagi membangunkan dua stesen penyelidikan di Sessang dan Belaga, dana penyelidikan bagi pelepasan gas rumah hijau, projek integrasi perladangan minyak sawit dan pelbagai projek penyelidikan yang dilakukan di Sarawak," katanya. 

 

Setakat ini, terdapat 21 projek penyelidikan dan pembangunan sedang dijalankan di negeri tersebut. - DagangNews.com