Kutipan tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin hampiri sasaran RM100 juta | DagangNews Skip to main content

Kutipan tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin hampiri sasaran RM100 juta

Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili kerajaan menerima sumbangan RM500,000 daripada Datasonic Group Berhad yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutifnya, Tengku Dato’ Seri Abu Bakar Ahmad bin Tengku Tan Sri Abdullah dan disaksikan Datuk Seri Fadillah Yusuf di Putrajaya pada 19 Oktober 2023.

PUTRAJAYA 19 Okt - Kutipan tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan Kementerian Luar kini berjumlah RM81 juta, menghampiri sasaran RM100 juta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Berucap pada majlis penyampaian sumbangan tabung AAKRP di sini hari ini, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kutipan besar dalam tempoh masa singkat itu menunjukkan soladiriti Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

 

Beliau memberi jaminan bahawa AAKRP itu akan dipastikan disalur terus untuk perubatan, makanan, minuman serta kemudahan asas untuk rakyat Palestin yang terjejas ketika ini.

 

“Saya terharu dalam masa singkat dengan dana awal kita dapat kumpul lebih RM80 juta yang akan memenuhi matlamat diumumkan peringkat awal iaitu RM100 juta. Ini menunjukkan keprihatinan dan terima kasih kepda syarikat kerajaan, swasta dan syarikat bukan Islam,” kata beliau.

 

Tabung AAKRP diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran  di Semenanjung Gaza ketika ini dengan kerajaan telah menyumbang RM10 juta dana awal tabung itu. 

 

Datasonic Group Berhad turut menyumbang sebanyak RM500,000 yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Datasonic Group Berhad, Tengku Dato’ Seri Abu Bakar Ahmad bin Tengku Tan Sri Abdullah. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Datasonic, Datuk Hanifah Nordin.

 

 

datasonic

 

parafrasa

 

 

Antara penyumbang terbesar untuk AAKRP hari ini adalah Khazanah Nasional Bhd serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu RM15 juta, Yayasan Albukhary RM15 juta dan YTL Corporation Bhd RM5 juta.

 

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas iaitu pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa kedua-dua belah pihak.- DagangNews.com