KUALA LUMPUR 21 Sept - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menubuhkan dana baharu bernilai RM500 juta, digelar Dana Perintis, yang memberi tumpuan kepada pelaburan ke dalam dana modal teroka (VC) dan syarikat pemula di Malaysia.
KWAP berkata dana tersebut menyasarkan untuk melabur sehingga RM250 juta setiap satu dalam dana VC terpilih yang tertumpu kepada Malaysia dan sebagai pelaburan langsung kepada syarikat pemula dalam tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang.
Jelasnya, dana VC ini akan memainkan peranan dalam mengenal pasti dan memupuk syarikat peringkat awal, menawarkan mereka sumber dan menyokong pertumbuhan.
Sementara itu, pelaburan langsung KWAP bertujuan untuk membolehkan syarikat pemula meningkatkan dan mengembangkan operasi perniagaan mereka.
“Dengan peruntukan RM250 juta bagi setiap tunggak, inisiatif KWAP menyasarkan untuk mempercepatkan pertumbuhan landskap keusahawanan Malaysia, sejajar dengan komitmen kemampanan KWAP sebagai penandatangan Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” lapor The Edge memetik kenyataan KWAP.
KWAP berkata ia berusaha memainkan peranan penting dalam mengemudi negara ke arah ekosistem peringkat awal yang berkembang pesat.
“Dengan Dana Perintis, kami bukan sahaja melaburkan modal kewangan, tetapi juga meletakkan kepakaran, sumber dan komitmen kami untuk melihat syarikat pemula Malaysia ini berjaya di pentas global, terutamanya dengan syarikat yang terlibat secara langsung dengan kami,” kata Ketua Pegawai Pelaburan KWAP, Hazman Hilmi Sallahuddin.
“Kami berdedikasi untuk memperkasakan syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menyokong pekerjaan dan memupuk inovasi.
“Dalam merealisasikan visi ini, KWAP telah mengenal pasti beberapa syarikat pelabur yang berpotensi untuk pelaburan, yang kini menggaji lebih 1,000 rakyat Malaysia daripada latar belakang berbeza,” tambahnya.
Walaupun KWAP berkata Dana Perintis telah mengenal pasti beberapa sektor keutamaan untuk pelaburan, seperti ekonomi perak, keterjaminan makanan, pendidikan, peralihan tenaga, keterangkuman kewangan dan ekonomi digital, ia tidak akan terhad secara eksklusif kepada industri ini. - DagangNews.com