KWSP : Pendapatan pelaburan bersih suku pertama RM19.24 bilion | DagangNews Skip to main content

KWSP : Pendapatan pelaburan bersih suku pertama RM19.24 bilion

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Meskipun berdepan persekitaran tidak menentu akibat pandemik COVID-19, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM19.29 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021.

 

Ekuiti, yang menyumbang 74% kepada jumlah pendapatan kasar mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM14.28 bilion manakala instrumen Pendapatan Tetap menyumbang sebanyak RM3.92 bilion. 

 

Kelas aset Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing menyumbang sebanyak RM710 juta dan RM380 juta.

 

Selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai, yang merupakan amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat, pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM19.24 bilion.

 

 

Amir Hamzah Azizan
Amir Hamzah Azizan

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi memberangsangkan suku pertama ini disokong oleh pemulihan ekonomi global yang bermula sejak separuh kedua tahun lalu. 

 

Katanya, KWSP yakin pelaksanaan program vaksinasi serta sokongan daripada dasar fiskal dan kewangan di seluruh dunia akan memainkan peranan penting dalam menggerakkan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi.

 

“Walaupun terdapat kebimbangan berkaitan inflasi, ia tidak menjejaskan tren positif dalam pasaran ekuiti. 

 

"KWSP mengambil peluang untuk menstruktur pegangan portfolio ekuiti kami kepada saham yang pada asasnya kuat tetapi dinilai rendah," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada akhir Mac 2021, jumlah aset pelaburan KWSP adalah RM981.71 bilion, yang mana 36% diperuntukkan dalam pasaran luar negara. 

 

Diversifikasi merentasi kepelbagaian kelas aset, pasaran dan mata wang terus menjana pulangan yang stabil dan menambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP. 

 

Bagi suku pertama, pelaburan luar negara KWSP menyumbang sebanyak RM11.15 bilion atau 58% kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan, terutama oleh ekuiti luar negara.

 

Berdasarkan kelas aset, instrumen Pendapatan Tetap merangkumi 46% daripada pelaburan manakala Ekuiti sebanyak 44%. 

 

Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing merangkumi 4% dan 6% daripada pelaburan.

 

Portfolio ini mencerminkan strategi diversifikasi KWSP untuk memastikan pulangan optimum dalam lingkungan had risiko yang boleh diterima berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA), yang terbukti berdaya tahan dalam menghadapi persekitaran pasaran yang mencabar, terutama semasa krisis pandemik COVID-19.

 

Menyedari pelbagai cabaran yang dihadapi oleh ahli disebabkan pandemik COVID-19, KWSP memperkenalkan kemudahan i-Sinar dan i-Lestari untuk membolehkan ahli yang terkesan membuat pengeluaran bagi membantu mengurangkan beban kewangan mereka. 

 

Setakat ini, sebanyak RM50.93 bilion telah dikeluarkan daripada RM57.97 bilion pengeluaran i-Sinar yang diluluskan bagi 6.49 juta pemohon, manakala RM20.80 bilion telah dibayar kepada 5.27 juta ahli di bawah kemudahan i-Lestari.

 

Menurut Amir Hamzah, pendekatan pelaburan berdisiplin dan pengurusan kecairan yang mantap oleh KWSP yang berpandukan SAA berjaya mengurangkan impak daripada jumlah pengeluaran yang besar ke atas portfolio KWSP, yang membolehkan prestasi kukuh dalam waktu mencabar ini dikekalkan. 

 

"Ini mencerminkan komitmen KWSP untuk melindungi simpanan persaraan ahli dengan memelihara dan meningkatkan nilai simpanan mereka, dan pada masa sama memastikan keperluan jangka pendek mereka dipenuhi tanpa menjejaskan kepentingan jangka panjang," tambahnya.

 

Beliau berkata, KWSP kekal berhati-hati dalam menghadapi suku seterusnya, berikutan risiko berkaitan varian COVID-19 terbaharu yang lebih mudah tersebar.

 

"Tetapi, kami ingin meyakinkan ahli bahawa KWSP akan terus mengambil langkah-langkah wajar bagi melindungi simpanan persaraan, melalui pelaksanaan rangka kerja tadbir urus KWSP yang mantap, demi memastikan mandat dan sasaran strategik untuk memberi ahli sebuah persaraan yang mapan," tegas beliau. - DagangNews.com