KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan boleh agih RM36.7 bilion bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024, meningkat 29% daripada RM28.4 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Pendapatan boleh agih ini tidak termasuk keuntungan 'mark-to-market (MTM)' bagi sekuriti yang belum direalisasikan.
Jumlah pendapatan boleh agih KWSP bagi suku kedua selepas turun nilai kos adalah RM17.5 bilion, naik 25% daripada RM13.98 bilion pada suku yang sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, keadaan pasaran yang menggalakkan di Malaysia dan global menyumbang kepada pertumbuhan 29% dalam pendapatan boleh agih pada 1H 2024, manakala aset di bawah pengurusan meningkat kepada RM1.21 trilion.
Pasaran Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan sentimen pelabur terhadap dasar berorientasikan pertumbuhan dan pembaharuan fiskal.
Pasaran global seperti Amerika Syarikat (AS) pula mendapat manfaat daripada keadaan makroekonomi yang kukuh, penurunan inflasi dan jangkaan permulaan kitaran pengurangan kadar faedah.
"Walaupun keadaan pasaran yang agak tenang, risiko dilihat akan kekal berikutan penjualan baru-baru ini dalam pasaran global dan peningkatan mendadak dalam turun naik yang disebabkan oleh peserta pasaran yang melepaskan beberapa kedudukan yang tertumpu dan sesak.
"Sebagai pelabur jangka panjang, KWSP akan meneruskan strateginya untuk membina portfolio yang pelbagai didorong oleh peruntukan aset strategiknya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam suku dikaji, pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan pada RM10.75 bilion selepas turun nilai kos, merangkumi 61% daripada jumlah pendapatan boleh agih pada suku tahun dikaji.
Prestasi pasaran ekuiti yang lebih baik di pasaran domestik dan pasaran maju global telah memacu pertumbuhan pendapatan berbanding RM7.84 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2023.
Penurunan nilai bagi tempoh yang dikaji adalah kecil pada RM690 juta, disebabkan pengurusan portfolio aktif oleh pengurus dana dan prestasi pasaran ekuiti keseluruhan yang lebih baik.
Pendapatan tetap terus memberikan aliran pendapatan yang stabil, mengurangkan kesan daripada turun naik pasaran jangka pendek dan menyediakan kestabilan untuk pendapatan keseluruhan KWSP.
Kelas aset ini, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS), serta pinjaman dan bon, menyumbang 33%, atau RM5.72 bilion, kepada jumlah pendapatan boleh agih KWSP bagi suku kedua 2024.
Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan RM500 juta, manakala instrumen pasaran wang menjana RM530 juta, sejajar dengan kadar faedah dan keuntungan semasa.
Setakat 30 Jun 2024, aset pelaburan adalah berjumlah RM1.211 trilion, yang mana 38% dilaburkan dalam pelaburan luar negara.
Pada suku kedua, pelaburan luar negara KWSP menjana RM8.64 bilion atau 49% daripada jumlah pendapatan boleh agih yang direkodkan.
KWSP memperuntukkan lebih 80% daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik, dan kekal komited dalam menyokong dan menyumbang ke arah mencapai matlamat yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI.
Daripada jumlah pendapatan boleh agih, RM31.34 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional dan RM5.36 bilion untuk Simpanan Shariah.
Ahmad Zulqarnain berkata prestasi kukuh ekonomi domestik mencerminkan daya tahan dan potensi pertumbuhan Malaysia, didorong oleh pasaran buruh yang sihat, dasar kerajaan yang menggalakkan dan kitaran teknologi global.
"Tinjauan ekonomi Malaysia dilihat kekal positif. Unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) bagi pertumbuhan setahun penuh antara empat dan lima peratus dalam keadaan inflasi sederhana pada purata antara dua dan 3.5 peratus, menyokong iklim pelaburan yang positif," katanya.
Mengenai landskap ekonomi global, Ahmad Zulqarnain berkata pertumbuhan diunjurkan kekal stabil pada 2024, dengan lebih banyak bank pusat dijangka mula melonggarkan dasar monetari pada separuh kedua tahun ini apabila inflasi terus berkurangan.
Pada separuh pertama 2024, KWSP menyaksikan 235,032 pendaftaran ahli baharu, menjadikan jumlah keahlian kepada 16 juta.
Sejumlah 8.6 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 17.15 juta tenaga buruh Malaysia.- DagangNews.com