KYM Holdings catat kerugian pada 4QFY23 akibat cukai tinggi, sumbangan rendah bahagian guni kertas | DagangNews Skip to main content

KYM Holdings catat kerugian pada 4QFY23 akibat cukai tinggi, sumbangan rendah bahagian guni kertas

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mac - KYM Holdings Bhd telah mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM277,000 dalam suku empat tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (4QFY23) berbanding keuntungan bersih RM2.95 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Kerugian tersebut adalah disebabkan oleh perbelanjaan cukai yang lebih tinggi dan segmen pembuatan yang mempunyai sumbangan rendah daripada bahagian guni kertas kegunaan perindustrian, menurut makluman kumpulan kepada Bursa Malaysia semalam.

 

Mengulas lanjut berkenaan kerugian 4QFY23, kumpulan itu berkata ia berlaku terutamanya didorong oleh pasaran eksport yang lemah, peningkatan kos bahan mentah dan kerugian pertukaran asing sebanyak RM410,000 justeru menyebabkan sumbangan rendah daripada bahagian guni kertas kegunaan perindustrian.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan bagi 4QFY23 hanya meningkat 7.02% kepada RM27.23 juta berbanding RM25.44 juta pada tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih kumpulan bagi tahun kewangan 2023 (FY23) melonjak 151.25% kepada RM8.93 juta daripada RM3.55 juta pada tahun sebelumnya didorong oleh kenaikan harga jualan serta jumlah jualan guni kertas kegunaan perindustrian yang lebih tinggi ke pasaran eksport.

 

Pendapatan kumpulan pula meningkat 45.31% kepada RM120.38 juta berbanding RM82.84 juta.

 

Di dalam makluman yang sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KYM, Darren Lee berkata landskap yang mencabar dan jangkaan kelembapan pasaran tidak menghalang kumpulan untuk terus komited menambah baik pengurusan kos, kecekapan rantaian bekalan dan kecekapan operasi bagi mengurangkan kesan kos luaran kepada kumpulan .

 

“Bahagian guni kertas kegunaan perindustrian kami telah memulakan percubaan pembungkusan baharu yang inovatif dan mampan untuk pelanggan utama dan ia berjaya.

 

Garis masa untuk melancarkan pengeluaran komersial disasarkan pada separuh kedua 2023,” katanya sambil menambah kumpulan sedang giat mengejar peluang perniagaan baharu untuk meningkatkan prestasi kewangan.

 

Darren berkata bahawa Lembaga Pengarah optimis kumpulan itu mampu mengharungi cabaran dan mencapai prestasi yang memuaskan pada 2023. -DagangNews.com