à la carte perkasa perniagaan tradisional dengan pengecualian yuran | DagangNews Skip to main content

à la carte perkasa perniagaan tradisional dengan pengecualian yuran


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Tidak seperti tawaran lain di pasaran,perkhidmatan à la carte menawarkan penyelesaian tanpa sebarang yuran langganan, pengendalian atau perkhidmatan bagi setiap pesanan kepada peniaga mereka.

Dibangunkan oleh syarikat teknologi kewangan Malaysia, Revenue Monster Sdn. Bhd., platform itu membantu untuk memperkasa perniagaan tradisional terutamanya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan di Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif Revenue Monster, Amanda Chin berkata, dengan peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini, situasi kembali suram buat peniaga-peniaga tempatan.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lebih 4,500 perniagaan terpaksa tutup disebabkan penurunan mendadak dalam pendapatan.

 

Amanda Chin
Amanda Chin

 

“Disebabkan itu, kami ingin melakukan sesuatu yang dapat memberi pendapatan yang lebih besar kepada perniagaan tempatan,” kata Chin dalam satu kenyataan hari ini.

Diintegrasikan ke dalam sistem point of sales (POS), terminal dan aplikasi pedagang Revenue Monster, à la carte merevolusikan proses pendigitilan untuk perniagaan dengan memberi mereka peluang membina kedai dan menu digital dengan cepat.

Ini membolehkan mereka memanfaatkan pelbagai pilihan operasi dari layanan tanpa sentuhan di premis, pandu lalu, pengambilan dan penghantaran.

Perkhidmatan à la carte membolehkan perniagaan mempromosi, menjual dan menyelesaikan transaksi secara dalam talian.

Platform itu juga memanfaatkan pilihan penghantaran dalam talian dari rakan kongsi termasuk  Mr.Speedy  dan Grab Express, untuk membolehkan peniaga mengintegrasikan penghantaran semasa proses pendigitalan mereka.

Perkhidmatan Revenue Monster merangkumi alat pengurusan dan penyelesaian pembayaran bersepadu yang menggabungkan penerimaan pembayaran seperti e-dompet  dan kad kredit atau debit menggunakan alat penerimaan pembayaran tunggal, e-invois, platform kesetiaan (loyalty) dan baucar, alat pengurusan media sosial dan penyelesaian keselamatan perniagaan.

à la carte kini tersedia di seluruh negara dan boleh digunakan oleh lebih daripada 5,000 peniaga Revenue Monster. – DagangNews.com