La Nina rangsang pengeluaran minyak sawit Indonesia | DagangNews Skip to main content

La Nina rangsang pengeluaran minyak sawit Indonesia


INDONESIA 14 Okt. - Pembekal lebih daripada separuh minyak sawit dunia, Indonesia, akan menyaksikan pengeluarannya mencecah paras tertinggi tahun hadapan berikutan fenomena La Nina. 

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Indonesia, Derom Bangun dalam temu bual dengan Bloomberg berkata, keadaan hujan lebat itu akan mendorong pengeluarannya meningkat 4% kepada 49 juta tan metrik berbanding 47 juta tan metrik tahun ini. 

"Pengeluaran tahun ini mengalami sedikit perubahan akibat cuaca panas tahun lalu dan kurang pengunaan baja," katanya. 
  
Walaupun pengeluaran akan meningkat tahun hadapan, tetapi menurut beliau, kadar pertumbuhan tahunan masih rendah disebabkan aktiviti perladangan tidak berkembang seperti sebelum ini dan aktiviti penanaman semula pula bergerak perlahan. 

Sebagai sebahagian daripada langkah menangani pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada sektor perladangan di Indonesia terutama berkaitan pertumbuhan ladang tidak terkawal hingga menyebabkan penebangan hutan dan mengancam hidupan liar, kerajaan tidak lagi mengeluarkan permit baharu untuk membuka ladang sebaliknya menggalakkan peladang supaya melaksanakan perladangan lestari bagi mengelakkan pemusnahan hutan dan habitat semula jadi. 

Bangun berkata, kebiasaannya peningkatan pengeluaran datang daripada kawasan perladangan sedia ada tetapi sejak kerajaan mengenakan permit moratorium, tiada lagi sebarang langkah pengembangan. 

"Dalam masa sama, aktiviti tanaman semula bergerak perlahan dengan syarikat besar komited untuk menjalankan penanaman semula kurang daripada 5%," katanya. 
 
Menurutnya, Indonesia memerlukan tanam semula sekurang-kurangnya 640,000 hektar setiap tahun bagi mengekalkan pengeluaran pada tahap semasa, dengan anggapan peladang menggunakan anak benih yang sama. 

"Jika ni boleh dilakukan, kita boleh melihat semua pokok ditanam semula menjelang 2025," jelasnya. 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Industri Minyak Sayuran Indonesia, Sahat Sinaga berkata, pengeluaran mungkin memuncak pada suku keempat tahun ini. 

"Pengeluaran dalam tempoh itu boleh mencecah 12.7 juta tan metrik, 3% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Pada 2019, ia mencapai pengeluaran tertinggi pada suku ketiga," katanya. - DagangNews.com