LADA perkenal slogan baharu Best Wey tarik golongan belia melancong ke Langkawi | DagangNews Skip to main content

LADA perkenal slogan baharu Best Wey tarik golongan belia melancong ke Langkawi

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Sept - Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memperkenalkan slogan domestik baharu Langkawi yang dikenali sebagai ‘Best Wey’ dalam usaha menarik golongan belia untuk melancong pulau tersebut.

 

Slogan yang lebih dinamik dan menarik ini diharap dapat menaikkan semangat mengembara dalam kalangan Gen-Z dan Millennial untuk melancong ke Langkawi. 

 

Turut diperkenalkan adalah video rasmi Langkawi baharu dan Langkawi Guide Series di Majlis Perasmian Matta Fair pada 3 September 2022. Inisiatif terbaharu ini dilihat sebagai usaha meningkatkan promosi dan penjenamaan bagi pasaran domestik.

 

Kempen melalui video baharu ini menggambarkan keindahan Langkawi dengan cara yang bertenaga, pantas dan meriah. Video ini turut diiringi alunan melodi yang ceria mewakili semua pengembaraan unik dan menarik yang menanti para pelancong di Langkawi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, mereka berusaha mempromosikan Langkawi melalui kempen baharu ini dengan meletakkan pulau itu sebagai tempat percutian eko dan geo yang santai dengan menonjolkan ciri-ciri pulau ini seperti Langkawi Geopark, yang pertama tersenarai dalam UNESCO di Asia Tenggara. 

 

"Selain itu, pulau ini juga kaya dengan landskap pergunungannya yang menakjubkan, keindahan flora dan fauna, formasi batuan tertua serta menawarkan pelbagai hotel mewah. Turut dianggap sebagai syurga dan tempat untuk menyenangkan fikiran, Langkawi juga dianggap sebagai salah satu tempat terbaik untuk mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Langkawi Guide Series yang baru disusun mengandungi pelbagai risalah yang mengandungi maklumat lengkap dan terkini mengenai Langkawi. 

 

 

lada

 

 

Maklumat yang dikongsi di dalam risalah ini merangkumi tempat makanan tradisi dan eksotik di Langkawi, panduan alam semula jadi Langkawi, senarai hotel, trail menarik dan juga peta Pulau Langkawi. 

 

Risalah yang direka cantik ini menggunakan grafik yang menarik untuk berkongsi beberapa tempat yang menarik di Langkawi. Risalah ini boleh didapati di laman sengsawang rasmi Pelancongan Langkawi: Naturally Langkawi, yang boleh dilayari di https://naturallylangkawi.my/langkawi-brochure/.

 

Tambah Nasaruddin, para pelancong kini boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Langkawi melalui peranti mudah alih masing-masing dengan mengimbas kod QR dalam risalah ini. 

 

"Ia terbukti berguna kerana menarik para pengguna yang mementingkan kemudahan dan inovasi. Kami akan memastikan Langkawi menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia serta mesti seiring dengan peningkatan digital dan membawa diri melangkaui teknologi untuk menjadi celik teknologi,” katanya.

 

Dengan pulau-pulau indah yang tiada tandingannya, laut yang membiru serta berkilauan dan pantai-pantai yang mempesonakan, pulau indah ini pastinya dalam senarai tempat untuk dikunjungi semua orang. Layari https://www.youtube.com/c/NaturallyLangkawi untuk melihat video terkini mengenai Langkawi. - DagangNews.com