Lagi rombakan dalam Bintai Kinden, bekas CEO kembali sebagai MD kumpulan | DagangNews Skip to main content

Lagi rombakan dalam Bintai Kinden, bekas CEO kembali sebagai MD kumpulan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mei - Bintai Kinden Corp Berhad terus melakukan rombakan ahli lembaga pengarahnya dan kali ini meyaksikan bekas ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Tay Chor Han kembali menyertai kumpulan itu sebagai pengarah urusan kumpulan berkuat kuasa 15 Mei 2023.

 

Chor Han dilantik bagi menggantikan Ku Chong Hong yang ditetapkan semula jawatan sebagai pengarah eksekutif merangkap ketua pegawai kewangan.

 

Chong Hong sebelum ini menjawat jawatan pengarah urusan bermula 18 Januari 2023.

 

Perubahan kepimpinan itu berlaku selepas penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik itu melaporkan tiga peletakan jawatan dan tiga pelantikan baharu.

 

Terdahulu, kumpulan itu mengumumkan peletakan jawatan Ong Choon Lui sebagai naib/timbalan pengerusi bukan eksekutif untuk mengejar kepentingan lain.

 

BACA JUGA: Azri Azerai letak jawatan Pengarah Eksekutif Bintai Kinden atas sebab-sebab peribadi

 

Choon Lui, 51, menyandang jawatan itu pada 24 Feb 2022, selepas beliau ditetapkan semula jawatan sebagai ketua pengarah eksekutif.

 

Pengerusi bukan bebas dan bukan eksekutif kumpulan itu Datuk Ibrahim Othman juga telah meletakkan jawatannya, berkuat kuasa Isnin, atas sebab peribadi. 

 

Chor Han sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Bintai Kinden selama kira-kira setahun. 

 

Beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan itu pada 24 Februari 2022 tahun lalu dan meletak jawatan pada 3 Mac lalu untuk mengejar kepentingan peribadinya.

 

bintai
Ku Chong Hong ditetapkan semula jawatan sebagai Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Kewangan Bintai Kinden.

 

 

Beliau merupakan pemegang saham terbesar syarikat dengan pegangan 45.93 juta saham biasa, mewakili 5.14% daripada jumlah modal saham terbitan Bintai Kinden.

 

Chor Han juga merupakan pengarah urusan Handal Group yang terdiri daripada tujuh syarikat sendirian berhad yang terlibat dalam aktiviti pembinaan dan pembangunan hartanah.

 

Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Melaka.

 

Selain itu, kumpulan itu mengumumkan penetapan semula jawatan Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman, 41, daripada pengarah bebas Bintai Kinden sebagai pengarah eksekutif. - DagangNews.com