Lambakan pempengaruh `mee segera' di media sosial: Mengejar populariti atau kualiti? | DagangNews Skip to main content

Lambakan pempengaruh `mee segera' di media sosial: Mengejar populariti atau kualiti?

Oleh ILINADIA JAMIL

YouTube adalah satu daripada platform media sosial yang semakin popular untuk dikunjungi dan telah berjaya mempengaruhi segelintir masyarakat terutama golongan muda untuk menggunakan saluran ini sebagai medium hiburan.

 

Menurut satu artikel Harian Metro yang diterbitkan pada tahun 2020, YouTube menjadi pilihan kepada pengkarya-pengkarya muda untuk menjana sumber pendapatan dan menjadi platform pilihan dalam menyiarkan karya produksi mereka.

 

Namun begitu, dek kerana nafsu untuk mengejar populariti sebagai YouTuber yang menjanjikan pendapatan lumayan dengan cara mudah, kebanyakan daripada mereka lebih mementingkan populariti dan jumlah pengikut berbanding kualiti kandungan video yang dihasilkan.

 

Lambakan kandungan yang tidak berkualiti di YouTube ini semakin berleluasa dan boleh memberi kesan buruk kepada pengikut-pengikutnya terutama kepada golongan remaja dan kanak-kanak yang menjadi antara penonton setia saluran YouTube.

 

 ILINADIA JAMIL
          ILINADIA JAMIL

 


Kandungan video yang bersifat prank, lucah, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim dalam satu rumah, cabaran yang tidak bermanfaat, vandalisme dan keganasan boleh meracuni fikiran golongan muda terutama kanak-kanak dan memberikan kesan buruk kepada perkembangan mereka.

 

Menurut kajian yang dijalankan oleh beberapa penyelidik UKM, kanak-kanak yang didedahkan dengan tingkah laku keganasan akan meniru tingkah laku tersebut berbanding kanak-kanak yang tidak didedahkan dengan aksi keganasan.

 

Kanak-kanak bertingkah laku adalah disebabkan oleh peniruan watak yang diminati yang ditonton di saluran YouTube, dan bukan sahaja dipengaruhi oleh kandungan yang berunsurkan keganasan dalam televisyen.

 

Maka untuk memastikan golongan pempengaruh “mi segera” ini kekal relevan dan berkualiti, mereka perlu menghasilkan kandungan video yang efektif, berinformasi dan memberi impak positif kepada masyarakat.

 

Oleh sebab itulah, mereka perlu mempunyai pengaruh yang besar untuk mengubah pandangan masyarakat terhadap sesuatu perkara, kandungan bermakna yang dihasilkan bergantung kepada ekuatan pempengaruh tersebut.

 

Jika mereka mempunyai kepakaran dalam isu semasa, kandungan yang dibangunkan semestinya mengulas tentang isu semasa tetapi dalam cara yang lebih mesra pengguna dan tidak terlalu bersifat akademia kerana pengguna YouTube lebih sukakan sesuatu yang santai dan tidak terlalu berat untuk dihadam minda.

 

Sebagai contoh, pempengaruh media sosial popular seperti Khairul Aming dan Che Nom yang popular dengan konten video masakan boleh dijadikan sebagai contoh kepada golongan pemula kerana mereka bukan sahaja dari latar belakang yang cerdik pandai, tetapi kandungan video mereka juga bersahaja, berkualiti dan boleh dijadikan rujukan bagi segenap lapisan masyarakat.


 

parafrasa

 


Aisyah Habshee juga antara pempengaruh bijak dan popular yang mempunyai jumlah pengikut yang ramai untuk dua saluran YouTubenya.

 

Beliau juga terkenal dengan satu saluran YouTubenya yang berkongsi informasi berkaitan pelbagai isu semasa dan kronologi kes jenayah dengan cara yang menarik, sangat santai dan senang difahami.

Oleh itu, untuk menjadi pempengaruh yang berjaya bukan perkara mudah dan syok sendiri.

 

Mereka perlu mempunyai ilmu pengetahuan dan sentiasa up-to-date dengan perkembangan semasa supaya kekal relevan dan berkualiti sekaligus memastikan kandungan video yang dihasilkan sesuai dengan golongan sasaran dan menepati selera penonton.

 

Namun begitu, mereka perlulah mengekalkan aspek kerukunan dan nilai murni dalam setiap kandungan video yang dicipta.

 

Ini kerana, sebagai pempengaruh yang berkualiti, adalah menjadi satu tanggungjawab sosial untuk memastikan kandungan yang disampaikan mendidik dan sekaligus memberi input yang berguna kepada penonton.

 

Pada Disember 2023, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bersama-sama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengadakan pertemuan dengan Google untuk mencari penyelesaian berhubung isu kandungan lucah di YouTube yang semakin menular selain melaksanakan peraturan baru untuk memerangi kandungan berkualiti rendah.


 

parafrasa

 


Diharapkan dengan usaha murni dari pihak Kementerian ini dapat menangani sebarang kandungan YouTube yang tidak mencapai indeks berkualiti sekaligus memastikan platform YouTube ini selamat digunakan oleh segenap lapisan masyarakat dan dalam masa yang sama melahirkan generasi pembangun kandungan YouTube yang lebih produktif, berilmiah dan berkualiti. - DagangNews.com

 

Ilinadia Jamil merupakan Pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Cawangan Melaka