Langganan syer Co-opbank Pertama ditutup pada 31 Disember ini | DagangNews Skip to main content

Langganan syer Co-opbank Pertama ditutup pada 31 Disember ini

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Nov - Co-opbank Pertama (CBP) mengumumkan akan menutup sementara langganan syer baharu dan tambahan kepada orang ramai pada 31 Disember 2023.

 

Bagaimanapun, orang ramai masih boleh melanggan syer CBP di cawangan-cawangan baharu yang bakal dibuka selepas tarikh berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, penutupan langganan syer itu adalah berikutan pihaknya telah mencapai sasaran modal yang ditetapkan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan sehingga 2026.

 

"Seperti mana yang telah dinyatakan di dalam Pelan Strategik 2022-2026, ini merupakan salah satu perancangan untuk CBP menambah kekuatan modal bagi menyokong pertumbuhan perniagaan yang dijangka berkembang sekitar 20-25% setiap tahun.

 

"Oleh itu, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua anggota dan orang ramai yang telah melanggan syer CBP dan terus memberi kepercayaan dan sokongan kepada CBP," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, pada Januari lalu, CBP telah membuka langganan syer kepada orang ramai bermula 1 Januari 2023 di semua cawangan-cawangan CBP di seluruh negara dengan kadar pertumbuhan modal syer telah berkembang lebih 25% sejak awal tahun ini.

 

Dalam masa yang sama, Khairil Anuar turut menyeru orang ramai yang belum melanggan syer CBP terus berbuat demikian sebelum ianya ditutup pada 31 Disember ini. 

 

Katanya, pembukaan semula syer itu terbuka kepada anggota baharu dan sedia ada dengan jumlah baki maksimum sehingga RM5 juta bagi individu dan bagi gerakan koperasi pula adalah sehingga 20% dari baki semasa modal syer CBP.

 

"Untuk rekod, CBP mencatatkan keuntungan sebanyak RM103.4 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2022 dengan agihan dividen sebanyak 6.3%," katanya. 

 

Orang ramai yang ingin melanggan saham CBP boleh kunjungi ke 29 cawangan CBP di seluruh negara atau hubungi 1 300 88 7650 untuk maklumat lanjut. - DagangNews.com