Langkah Bank Negara naikkan OPR tepat untuk urus inflasi – Ketua Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Langkah Bank Negara naikkan OPR tepat untuk urus inflasi – Ketua Pakar Ekonomi

39 bank pusat di seluruh dunia telah menaikkan kadar tahun ini untuk menjinakkan inflasi
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 8 Julai – Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak  25 mata asas yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) memang sudah dijangka oleh pasaran untuk membendung tekanan inflasi dalam ekonomi.

 

Ketua Pakar Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed berkata: “Ia merupakan satu langkah yang baik untuk menaikkan kadar sejajar dengan jangkaan pasaran supaya tekanan harga terkawal.

 

“Dengan kadar OPR pada 2.25, kami di Juwai IQI menjangkakan BNM akan bergerak secara berhati-hati dalam menaikkan kadar.

 

“Jika kita menganalisis bank pusat global, 39 bank pusat telah menaikkan kadar tahun ini untuk menjinakkan inflasi,” jelas beliau kepada DagangNews.com.

 

Shan memberi amaran bahawa ekonomi global sedang menuju ke kadar faedah yang lebih tinggi untuk dua-tiga tahun mendatang.

 

“Jika anda melihat ekonomi serantau (ASEAN), pelbagai bank pusat negara lain termasuk Singapura juga telah menaikkan kadar OPR mereka kerana jangkaan inflasi harga yang lebih tinggi,’’ katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

  • Singapura 0.64

  • Thailand 0.5%

  • Indonesia 3.5%

  • Vietnam 4.0%

  • Filipi 2.5%

Sumber: Tradingeconomics.com / Economist

 

Shan berkata demikian ketika mengulas tentang pengumuman BNM untuk menaikkan kadar OPR.


 

Shan Saeed
                                                     Shan Saeed

 


BNM mengumumkan OPR dinaikkan 25 mata asas menjadikan kadarnya ketika ini adalah 2.25 peratus.

 

Kadar siling dan lantai OPR sekali gus meningkat kepada 2.50 dan 2.00 peratus.

 

Perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang bermesyuarat pada selama dua hari bermula Selasa.

 

Ia kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus semasa mesyuarat terakhirnya Mei lalu.

 

Menurut Shan, “Di Juwai IQI kami menjangkakan bahawa BNM mempunyai banyak ruang untuk bergerak dalam landskap monetari.

 

“Pada pendapat saya, BNM sepatutnya dapat memenuhi mandat kestabilan harga dalam ekonomi,’’ ujar beliau.

 

Katanya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sepatutnya berlegar sekitar 4 hingga 5% pada 2022 dengan ringgit terus mengekalkan kestabilan struktur dalam pasaran kewangan.

 

Setakat ini, Shan berkata Kerajaan telah mencuba yang terbaik untuk mencapai kestabilan makroekonomi untuk merangsang pertumbuhan apabila ekonomi terbuka sepenuhnya dan beroperasi.

 

Dalam dua tahun kebelakangan ini BNM telah mengharungi cabaran COVID-19 dengan berkesan dengan membuat langkah taktikal dalam monetari levers untuk meningkatkan pertumbuhan KDNK di peringkat makro.

 

Shan berkata, bank pusat itu juga sentiasa berpegang teguh pada mandat monetari dan kestabilan kewangannya memandangkan pertumbuhan ekonomi yang mampan hanya boleh berlaku dalam konteks, yang mana kestabilan monetari dan kewangan terpelihara, dan integriti sistem kewangan terpelihara. - DagangNews.com