Langkah Fed beri isyarat kurangkan kadar faedah tahun hadapan dijangka rangsang aliran masuk dana ke Malaysia - penganalisis | DagangNews Skip to main content

Langkah Fed beri isyarat kurangkan kadar faedah tahun hadapan dijangka rangsang aliran masuk dana ke Malaysia - penganalisis

KUALA LUMPUR 15 Dis - Langkah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) memberi isyarat pemotongan kadar faedah pada tahun hadapan dijangka menggalakkan pelabur antarabangsa mengagihkan semula dana mereka ke Malaysia dalam bagi mendapatkan pulangan yang lebih tinggi.

 

Pakar ekonomi berkata, Malaysia akan mendapat manfaat daripada kemungkinan pemotongan kadar kerana kadar faedah yang lebih rendah boleh merangsang pinjaman dan perbelanjaan di AS sekali gus mendorong permintaan yang lebih tinggi terhadap produk Malaysia.

 

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kemungkinan pemotongan itu adalah penting kerana kebanyakan dana asing ingin mencari pendedahan dalam ekonomi membangun termasuk Malaysia.

 

Katanya, ramalan terbaharu Fed jelas menunjukkan bahawa bank pusat AS sedang bersedia bagi mengalihkan tumpuannya daripada inflasi kepada pertumbuhan.

 

"Pemotongan kadar boleh menyebabkan dana asing mencari hasil yang lebih baik, Fed boleh memilih pemotongan kadar yang agresif sekiranya berlaku ekonomi yang perlahan," katanya, lapor NST, hari ini.

 

dana

 

Afzanizam berkata, aliran masuk asing mungkin meningkat memandangkan pemilikan asing ke atas ekuiti Malaysia menyusut kepada 19.5% pada Oktober berbanding 20.6% pada akhir tahun lalu.

 

Begitu juga, pemilikan asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) berada pada trajektori yang lebih rendah sebanyak 35% pada bulan lepas berbanding 36.6% pada Julai lalu. 

 

"Saya percaya ia akan menjadi positif untuk ekuiti. Jika kerajaan terus menunjukkan keazamannya untuk pembaharuan ekonomi, ia akan menghasilkan lebih banyak aliran masuk," katanya.

 

Penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pemotongan kadar itu boleh mendorong dana asing untuk mengalihkan pelaburan mereka ke ekonomi lain bagi mencari pulangan yang lebih tinggi.

 

Beliau berkata, sebarang pemotongan kadar juga boleh meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS tahun depan kerana kadar faedah yang lebih rendah akan menggalakkan pinjaman dan perbelanjaan.

 

dana

 

“Saya percaya ini boleh memberi kesan positif kepada ekonomi kita kerana akan terdapat peningkatan permintaan terhadap produk eksport kita memandangkan AS adalah rakan dagang ketiga terbesar kita. Terdapat kemungkinan aliran masuk dana semakin meningkat."

 

Sementara itu, Kenanga Research menyuarakan keyakinan baharu baharu dalam pasaran AS kerana ia boleh memberikan sedikit keselesaan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mengekalkan pendirian dasarnya lebih lama.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada 3% sehingga akhir tahun depan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Dalam pada itu, MIDF Research menjangkakan Fed mengekalkan dasar sedia ada sehingga sekurang-kurangnya separuh pertama tahun depan.

 

Katanya, ia memandangkan inflasi masih melebihi sasaran 2% Fed dan data terkini mencadangkan indeks harga pengguna teras kekal mencabar.

 

"Kami mengunjurkan pertumbuhan yang lebih perlahan dan permintaan agregat yang lebih lemah akan membolehkan Fed mula mengurangkan kadar. 

 

"Ia bagaimanapun tertakluk kepada kekuatan keseluruhan ekonomi AS, terutamanya prospek perbelanjaan," katanya. - DagangNews.com