Langkah kurangkan pembaziran inventori, Kenanga Research jangka MyNews kembali untung pada FY23 | DagangNews Skip to main content

Langkah kurangkan pembaziran inventori, Kenanga Research jangka MyNews kembali untung pada FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 April - Kenanga Research menjangkakan bahawa MyNews Holdings Berhad akan kembali mencatatkan keuntungan pada FY23 selepas kumpulan itu giat menjalankan usaha mengurangkan pembaziran inventori dan meningkatkan pusat pengeluaran makanan (FPC).

 

Firma itu bagaimanapun berkata, perkara itu juga bergantung kepada prestasi kedai CU. 

 

Katanya, kedai CU kumpulan itu terus memberi ruang untuk penambahbaikan dari segi konsistensi dalam kualiti produk, terutamanya produk makanan segar, yang  membentuk kira-kira 60% daripada jumlah produk.

 

Firma itu bagaimanapun tetap berhati-hati terhadap persekitaran operasi kumpulan tetapi yakin mereka berada di landasan yang tepat untuk mencatat keuntungan.

 

"MyNews memiliki perancangan untuk mengukuhkan kualiti produknya dan perkhidmatan di kedai CU menerusi kelasa masakan serta latihan profesional untuk meningkatkan kemahiran perkhidmatan untuk kakitanggannya.

 

"Kami percaya kumpulan itu mempunyai ruang untuk bersaing dari segi kepelbagaian produk dan penyesuaian kepada citarasa tempatan," katanya dalam nota kajian, hari ini.

 

Mengulas mengenai FPC kumpulan, firma itu berkata, pihak pengurusan tidak membuat sebarnag perubahan terhadap unjurannya disebabkan kos bahan mentah, tenaga kerja dan utiliti yang tinggi.

 

"Kami faham bahawa kadar penggunaannya masih berlegar sekitar 60% (berbanding anggaran pulang modal antara 70% hingga 75%) pada FY23 kerana terdapat lebih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk meningkatkan produktiviti tenaga kerja asing," katanya.

 

Firma itu menyemak naik penarafan kumpulan itu kepada 'market perform' berbanding 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 41 sen sesaham. - DagangNews.com