Langkah menyenarai pendek syarikat bagi projek HSR beri peluang semua pihak raih permulaan baharu, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Langkah menyenarai pendek syarikat bagi projek HSR beri peluang semua pihak raih permulaan baharu, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Sept - Langkah menyenarai pendek syarikat sebelum proses penjualan dokumen permintaan maklumat (RFI) bagi projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang kembali dihidupkan hanya sebahagian daripada proses biasa bagi membolehkan semua pihak mendapat permulaan baharu.

 

CGS-CIMB Research berkata, lima syarikat yang dipercayaai sudah disenarai pendek termasuk YTL Corp, MMC Corp Berhad, Malaysian Resources Corp Berhad (MRCB), WCT Holdings Berhad dan Berjaya Land Berhad (BLand).

 

Setakat ini, hampir 30 firma telah mengemukakan permintaan untuk membeli dokumen RFI, manakala projek itu akan melalui model reka bentuk-kewangan-bina-operasi-operasi (DFBOT) dengan aset akan diserahkan selepas tempoh konsesi.

 

Memandangkan projek itu kini dalam peringkat RFI, CGS-CIMB berkata, beberapa butiran seperti struktur HSR, potensi kos, pengambilan tanah, pembangunan berorientasikan transit (TOD) di stesennya dan garis masa, masih belum dijawab.

 

“Pada pandangan kami, perkara utama ialah mendapatkan persetujuan daripada Singapura dan menyelesaikan isu pada masa lalu, seperti struktur AssetCo dan menghubungkan terminal HSR di KL dengan ERL,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dipetik berkata, bahawa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan berhubung dengan Singapura selepas kerajaan memutuskan mengenai projek itu selepas RFI siap.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor pembinaan dan bahan, menjangkakan potensi pelancaran projek berskala lebih besar daripada daripada HSR.

 

Firma penyelidikan itu berkata, MyHSR Corp juga menyentuh potensi pertindihan jajaran HSR dengan landasan berkembar Gemas-Johor Bahru (JB) dan menegaskan bahawa HSR akan melayani koridor berbeza dan menyasarkan pelanggan berbeza.

 

“HSR akan lebih kepada pengembara perniagaan yang menghargai masa manakala garisan berkembar lebih fokus kepada mereka yang lebih mementingkan harga.

 

"Pada Fasa 2 HSR, ia mungkin diperluas ke Bangkok,” katanya.

 

Dari segi pengambilan tanah, CGS-CIMB menyatakan bahawa negeri (Johor) juga mungkin memperoleh tanah yang disifatkan bermanfaat kepada pembangunan ekonomi Malaysia. - DagangNews.com