Langkah penjimatan kerajaan, kenaikan bahan binaan terus pengaruhi prospek suram sektor pembinaan | DagangNews Skip to main content

Langkah penjimatan kerajaan, kenaikan bahan binaan terus pengaruhi prospek suram sektor pembinaan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Sektor pembinaan dijangka terus berdepan cabaran terutama dengan langkah penjimatan kerajaan yang menyaksikan 30 projek bernilai kira-kira RM100 juta ditangguhkan bagi memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

 

Bagaimanapun, AmInvestment Bank percaya, beberapa projek seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, Transit Pantas Autonomi Kuching dan Lebuhraya Pan Borneo tidak akan terjejas. 

 

"Memandangkan hutang negara terus meningkat, kami menjangkakan pelancaran projek infrastruktur awam kemungkinan besar akan menerima pakai inisiatif pembiayaan swasta (PFI) bagi mengurangkan perbelanjaan modal segera oleh kerajaan.

 

"Jadi, ini bermakna, kontraktor utama mungkin perlu mengambil risiko yang lebih tinggi untuk terlibat dalam pembiayaan projek," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada 21 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kriteria projek yang ditangguhkan itu adalah projek baharu dan sedia ada, yang belum dimulakan proses perolehan serta belum diiklankan.

 

Selain itu, projek bukan keutamaan yang dikenal pasti kecuali projek yang mempunyai impak segera kepada kesejahteraan rakyat serta projek baharu dan sedia ada yang menghadapi masalah pelaksanaan seperti isu tapak.

 

Kementerian Kewangan sebelum ini menganggarkan perbelanjaan subsidi akan mencecah sehingga RM77 bilion tahun ini, melebihi peruntukan RM31 bilion seperti diluluskan di bawah Bajet 2022.

 

 

MOF
Kerajaan dijangka menanggung subsidi sebanyak RM77 bilion tahun ini.

 

 

Dalam pada itu, menurut AmInvestment, inisiatif kerajaan memperkenalkan semula syarat perubahan harga (VOP) bagi membantu kontraktor berdepan dengan kenaikan kos bahan binaan hanya membabitkan projek-projek kerajaan.

 

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan projek swasta tidak mempunyai peruntukan sedemikian.

 

"Walaupun kontraktor dapat menggabungkan kenaikan kos untuk tender baharu dalam bentuk peningkatan nilai kontrak, kos yang lebih tinggi masih akan membawa kepada margin keuntungan operasi yang lebih rendah dan keperluan modal kerja yang lebih tinggi," jelasnya.

 

Firma itu menjangkakan harga bahan binaan akan terus kekal tinggi disebabkan ketidaktentuan ekonomi global dan konflik geopolitik. 

 

"Harga bar keluli meskipun susut 9% kepada RM3,205 satu tan metrik pada Julai daripada RM3,525 satu tan metrik pada April/Mei 2022, tetapi masih 19% lebih tinggi bebanding RM2,700 satu tan metrik yang direkodkan pada Januari 2021. 

 

"Sementara itu, harga simen pula setakat ini sudah meningkat 1% di Semenanjung Malaysia, manakala 8% di Kota Kinabalu dan 14% di Kuching sejak Januari 2022," tambahnya.

 

 

gambar hiasan
Kontraktor bimbang akan menanggung penalti jika projek lewat disiapkan kerana masalah buruh.

 

 

AmInvestment juga mendapati masalah buruh terus membelenggu sebahagian kontraktor hingga menghalang mereka untuk membida projek-projek baharu. 

 

Ini kerana katanya, kekurangan pekerja akan menyebabkan mereka dikenakan penalti apabila projek tidak dapat disiapkan seperti dijadualkan.

 

"Di sebalik kelulusan yang perlahan dan perbincangan yang berpanjangan dengan negara sumber mengenai perlindungan pekerja, kami menjangkakan masalah kekurangan buruh akan berkurangan secara beransur-ansur sepanjang baki tahun 2022.

 

"Situasi ini dapat membantu kontraktor bersedia menghadapi pelancaran projek mega infrastruktur seperti MRT3," katanya.

 

Firma itu menganggarkan nilai kontrak bagi pakej kerja-kerja sivil MRT3 berjumlah RM29 bilion merangkumi CMC301 (RM2.3 bilion), CMC302 (RM10.6 bilion) dan CMC303 (RM16.1 bilion). 

 

Pada 27 Mei lalu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) membuka 3 pakej tender kepada kontraktor yang layak iaitu CMC301 bagi mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, stesen bertingkat, depot dan lain-lain kerja berkaitan dari Pandan ke Jalan Cheras.

 

Pakej CMC302 pula membabitkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, terowong, stesen-stesen, depot, struktur sampingan dan lain-lain kerja berkaitan dari Jalan Cheras ke Pantai Dalam serta Jalan Kuching ke Pandan.

 

Sementara itu, pakej terakhir iaitu CMC303 membabitkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, terowong, stesen-stesen, struktur sampingan dan lain-lain kerja berkaitan dari Pantai Dalam ke Jalan Kuching. 

 

gambar hiasan
MRT3 adalah antara projek yang tidak terjejas susulan langkah penjimatan kerajaan. 

 

 

AmInvestment menjangkakan MRT3 tidak akan terjejas dengan langkah penjimatan kerajaan memandangkan ia menggunakan struktur PFI.

 

"Tanpa sebarang kelewatan, kami menjangkakan pakej ini akan diberikan pada suku keempat 2022 atau suku pertama 2023 dengan anugerah subkontrak pada suku pertama 2023," katanya.

 

Firma itu melihat IJM Corp. Bhd. dan Sunway Construction Group Bhd. akan menjadi penerima manfaat utama memandangkan pakej-pakej tersebut memerlukan pembiayaan minimum untuk 2 tahun awal atau 10% daripada nilai kontrak

 

Kedua-dua syarikat pembinaan itu, katanya, mempunyai lembaran imbangan yang kukuh dan rekod prestasi yang terbukti.

 

"Kami menjangkakan peranan WCT Holdings Bhd. adalah terhad kepada subkontrak kerana lembaran imbangannya manakala Kimlun Corp Bhd. dan Econpile Holdings Bhd. akan mendapat manfaat daripada pelancaran pakej ini kerana mereka telah memenangi kontrak yang besar daripada projek MRT sebelumnya," jelasnya. 

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor pembinaan di sebalik pelancaran semula projek MRT3.

 

Ia masih berhati-hati dengan kemerosoton margin keuntungan disebabkan kenaikan harga bahan binaan dan terdapat kemungkinan semakan semula kos atau penangguhan bagi projek mega.

 

"Kami akan menyemak semula penarafan sektor apabila tekanan terhadap kos bahan binaan semakin berkurangan dan kerajaan memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan projek infrastruktur awam yang penting," katanya. - DagangNews.com