Langkah progresif kerajaan gubal akta kekang gergasi teknologi mampu selamatkan Industri Kewartawanan Negara | DagangNews Skip to main content

Langkah progresif kerajaan gubal akta kekang gergasi teknologi mampu selamatkan Industri Kewartawanan Negara

Oleh Muhammad Syafi Fauzan Saifuddin

KEUNTUNGAN yang diperoleh oleh syarikat teknologi gergasi umpama lembu punya susu, sapi dapat nama. Hal ini kerana syarikat gergasi seperti Meta dan Alphabet Inc telah bertindak mengaut keuntungan secara percuma tanpa memberi sebarang bayaran kepada hasil titik peluh syarikat media tempatan.

 

Perkara ini juga membawa gambaran jelas bahawa mereka mahu memonopoli industri media di peringkat global.

 

Pelaksanaan cukai kepada penyedia platform enjin carian terbesar dunia itu dilihat dapat membantu industri media tempatan menjana pendapatan, sekali gus menjadi titik tolak ke arah pemerkasaan industri media yang lebih signifikan.

 

Justeru itu, pihak kerajaan perlu segera bertindak menggubal undang-undang tuntutan berita dalam talian agar syarikat media tempatan mampu terus bertahan dalam industri yang kian mencabar.

 

Pada Forum Media Nasional anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 25 Julai 2023, Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar mengemukakan empat cadangan kepada kerajaan masa kini dalam usaha melindungi hak kewartawanan di negara ini.


 

jj
                         Tan Sri Johan Jaaffar

 


Kerajaan perlu segera bertindak agar tiada syarikat media tempatan yang terpaksa gulung tikar. Antara cadangan yang dikemukakan termasuklah mengkaji semula perundangan yang sedia ada, mencontohi kredibiliti kerajaan Australia dan Kanada, memperkenalkan Kursi Kewartawanan di universiti serta melantik senator mewakili suara wartawan di parlimen.

 

Mengkaji Semula Perundangan Yang Sedia Ada

Apabila teknologi berkembang, era digital akan membawa kepada anjakan paradigma dalam penggunaan media, yang memerlukan rombakan undang-undang sedia ada. Oleh itu, kerajaan perlu mengkaji semula Akta 301 iaitu Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984. Ini adalah penting untuk memastikan peluang yang sama buat semua saluran media.

 

Dalam manifesto PRU15 sebelum ini, Pakatan Harapan telah berjanji untuk menghapuskan beberapa akta yang dianggap tidak lagi relevan yang telah menyekat hak kebebasan media.  Dengan menyemak semula undang-undang, penggubal undang-undang boleh mencapai keseimbangan antara melindungi kepentingan negara dan menjaga hak kewartawanan.

 

Kerajaan Perpaduan ketika ini perlu memandang serius isu ini dan bertindak segera sejajar dengan harapan yang telah diberikan dalam PRU15 sebelum ini.

 

Mencontohi Australia & Kanada

Sebagai negara yang membangun, kerajaan seharusnya mengambil inspirasi daripada negara seperti Australia dan Kanada yang boleh memberikan cerapan berharga untuk mencipta undang-undang moden kepada platform digital.

 

Kerajaan sewajarnya menerapkan undang-undang seperti News Media Bargaining Code di Australia dan Online News Act di Kanada yang menuntut syarikat seperti Meta dan Alphabet Inc membayar kepada agensi media tempatan.

 

Akta Pindaan Undang-undang Perbendaharaan (Kod Perundingan Mandatori Media dan Platform Digital) 2021 ialah satu kod kelakuan mandatori yang mengawal hubungan komersial antara syarikat berita Australia dan platform gergasi digital yang dikatakan mendapat manfaat daripada ketidakseimbangan kuasa tawar-menawar yang ketara.


 

parafrasa

 


Australian Competition and Consumer Commission (ACCC) menganggap bahawa menangani ketidakseimbangan ini adalah wajar bagi menyokong kemampanan sektor media berita di Australia, yang membolehkan sistem demokrasi berfungsi dengan baik. Berikutan pengenalan kod tersebut, Google dan Facebook (kini Meta) telah mencapai perjanjian komersial secara sukarela dengan sejumlah besar organisasi media berita di sana.

 

ACCC secara berasingan juga telah membenarkan kedua-dua Country Press Australia pada 5 Ogos 2021 dan Radio Komersial Australia pada 29 Oktober 2021, untuk secara kolektif berunding dengan Google dan Meta. Rundingan ini bertujuan untuk mendapatkan imbuhan bagi kandungan berita yang ditampilkan pada platform tersebut tanpa melanggar undang-undang persaingan Australia.

 

Akta ini juga mempunyai tujuan yang sama dengan apa yang mahu dilakukan di Kanada melalui Online News Act. Undang-undang ini digubal untuk memastikan penerbit media tempatan menerima kompensasi yang adil atas kandungan berita yang diterbitkan mereka di platform-platform teknologi besar tersebut.

 

Kedua-dua negara telah berusaha dan berjaya mengharungi cabaran era digital dalam pada yang sama menegakkan prinsip kebebasan bersuara.

 

Biarpun perkara ini kemungkinan sukar untuk diterima syarikat-syarikat teknologi besar tersebut, sekurang-kurangnya kita perlu berani menyuarakan hak kepada mereka. Mungkin hasil kerjasama yang jitu antara negara-negara global dapat mempengaruhi pertimbangan dan mendorong kepada penerimaan hak mereka ditegakkan.

 

Memperkenalkan Kursi Kewartawanan Di Universiti

Tanpa disedari, kewujudan Kursi Kewartawanan di universiti sebenarnya mampu memainkan peranan penting dalam membentuk kredibiliti wartawan masa hadapan.

 

Kursi Kewartawanan wajar diperkenalkan di semua universiti utama tempatan dalam usaha menghargai jasa tokoh dalam bidang kewartawanan, selain memberi pendedahan awal kepada individu yang memiliki potensi untuk meneruskan legasi tersebut

 

Perkara ini boleh direalisasikan dengan mengemas kini kurikulum kewartawanan dan memasukkan modul mengenai etika media, undang-undang media digital dan kepentingan kebebasan akhbar. Kursi ini juga dapat memenuhi kehendak industri media di Malaysia dengan latihan dan pendidikan yang baik kepada para graduan.


 

mpi

 


Melantik Senator Mewakili Suara Wartawan Di Parlimen

Melantik seorang senator yang mewakili suara wartawan membolehkan kelompok wartawan mempunyai perwakilan langsung di badan legislatif. Hal ini kerana individu yang dilantik lebih peka terhadap isu-isu yang dihadapi oleh industri media, termasuk perubahan dalam landskap media digital dan isu-isu lain yang mempengaruhi pekerjaan wartawan.

 

Senator ini berperanan memperjuangkan hak wartawan, mewakili kepentingan mereka semasa perbahasan perundangan dan berusaha ke arah menjaga kebebasan media tanpa berat sebelah politik. Ini memberi peluang kepada wartawan untuk menyuarakan kepentingan dan isu-isu yang berkaitan dengan profesion mereka di peringkat dasar politik.

 

Dengan mengetengahkan isu-isu ini, kita boleh memupuk persekitaran yang menegakkan kebebasan media, menyokong kepelbagaian media dan mengukuhkan prinsip demokrasi. Menghidupkan semula hak demokrasi dalam landskap media memerlukan pembaharuan yang menyeluruh.

 

Perkara ini mampu direalisasikan jika pemegang tampuk kepimpinan negara cakna dan proaktif dalam  menangani permasalahan yang dihadapi.

 

Perundangan yang telah diilhamkan oleh model negara yang berjaya seperti Australia dan Kanada juga boleh dijadikan panduan dan membuka jalan bagi membuat rangka kerja undang-undang yang teguh bagi platform digital.

 

Pengenalan Kursi Kewartawanan di universiti juga berperanan dalam membentuk jati diri generasi wartawan yang berkarisma.

 

Akhir sekali, perwakilan senator di parlimen dapat memainkan peranan aktif dalam mempertahankan kebebasan media dan melindungi kepentingan wartawan daripada campur tangan pemerintah atau pihak lain yang ingin membatasi hak kebebasan media.

 

Dengan mendalami empat cadangan ini dan menggalakkan literasi media, kerajaan berpotensi membina ekosistem media yang mapan seterusnya memupuk amalan demokrasi dan memperkasakan rakyat yang berpengetahuan. - DagangNews.com

 

 

Muhammad Syafi Fauzan Bin Saifuddin adalah mahasiswa Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Melaka