Khazanah Nasional perjelas penjualan saham FashionValet, komited terus melabur secara bertanggungjawab | DagangNews Skip to main content

Khazanah Nasional perjelas penjualan saham FashionValet, komited terus melabur secara bertanggungjawab

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 Nov - Khazanah Nasional telah melabur RM27 juta untuk memperoleh 9% kepentingan dalam FashionValet (FV) pada tahun 2018.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Khazanah, PNB jual pegangan RM47 juta dalam FashionValet pada harga hanya RM3.1 juta, MOF sahkan di Parlimen

 

Pada masa itu, FV adalah platform e-dagang fesyen tempatan yang berpotensi, dengan lebih daripada 400 jenama dan 15,000 produk di platformnya serta menjangkakan pertumbuhan pendapatan sekitar 60% setiap tahun.

 

"Rasional pelaburan kami berasaskan tema e-dagang luar talian ke dalam talian (Offline-to-Online), serta komitmen untuk menyokong usahawan Malaysia dan syarikat peringkat awal yang berpontensi.

 

"Dalam tempoh beberapa tahun, FV menghadapi cabaran, sebahagian besarnya kesulitan yang timbul disebabkan COVID-19, termasuk rancangan perluasan platform.

 

"Ini menyebabkan FashionValet, di bawah bimbingan Lembaga Pengarah dan pemegang saham, beralih fokus daripada menjadi sebuah platform e-dagang untuk jenama Asia Tenggara kepada mengembangkan jenama milik penuh, Duck dan Lilit, bagi mengekalkan margin operasi dan aliran tunai syarikat," kata Khazanah dalam kenyataan media malam ini.

 

FV kata Khazanah, juga mengambil langkah untuk merasionalisasi kos dan menyelaraskan operasi, namun terus menghadapi cabaran, termasuk pengumpulan dana dalam persekitaran yang sukar pada tahun 2022-2023.

 

Pada akhir tahun 2023, NXBT Partners, yang diterajui seorang usahawan Malaysia yang berpengalaman, menawarkan untuk memperoleh kepentingan pemegang saham sedia ada dan menyuntik modal ke dalam FV.

 

Memandangkan FV memerlukan dana dengan segera untuk meneruskan operasi, dan memandangkan pelaburan telah mencapai akhir tempoh pegangan yang disasarkan, Khazanah mempertimbangkan dan menerima tawaran tersebut.

 

Penjualan ini adalah satu langkah keluar yang bertanggungjawab untuk mengalih pemilikan kepada pihak yang mampu membantu mendorong FV ke arah trajektori pertumbuhan baru.

 

Sebagai dana kekayaan berdaulat negara, Khazanah akan terus melabur secara bertanggungjawab dan mengurus aset untuk pulangan pelbagai generasi yang mampan bagi negara.

 

"Sebagai sebahagian daripada strategi Memajukan Malaysia yang berasaskan kerangka “A Nation That Creates”, kami kekal komited untuk menjana transformasi syarikat-syarikat Malaysia pelbagai saiz untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negara, selaras dengan program GEAR-uP yang diterajui Kementerian Kewangan.

 

"Kami percaya bahawa ekosistem permulaan adalah penggerak inovasi, pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan di Malaysia.

 

"Walaupun terdapat risiko pelaburan dan cabaran yang lebih tinggi dengan syarikat peringkat awal, Khazanah akan terus berdedikasi untuk menyokong syarikat permulaan tempatan dan akan terus bersama mereka sehingga mencapai kejayaan serta pertumbuhan.

 

"Kami menghargai segala kepercayaan dan sokongan berterusan daripada para pemegang kepentingan kami, dalam usaha kami mencapai matlamat ekonomi negara selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI kerajaan," kata Khazanah. - DagangNews.com