Langsaikan 1MDB, Ambank berdepan kerugian RM1.77 bilion - Firma | DagangNews Skip to main content

Langsaikan 1MDB, Ambank berdepan kerugian RM1.77 bilion - Firma

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 April - Peruntukan sehingga RM2.83 bilion untuk melangsaikan bayaran 1MDB kepada kerajaan dijangka meletakkan AMMB Holdings Berhad (Ambank) berdepan kerugian bersih sehingga RM1.77 bilion bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

Bank itu juga mungkin tidak mengisytiharkan sebarang bayaran dividen, menurut ramalan penganalisis di CGS-CIMB Research, Winson Ng.

 

Ini adalah susulan Ambank mengumumkan cadangan tawaran persendirian yang akan melibatkan terbitan 300 juta saham baharu dengan sasaran perolehan sebanyak RM810 juta berdasarkan harga andaian pada kadar RM2.70 sesaham.

 

“Ini merupakan kejutan negatif buat kami memandangkan bank itu tidak mendedahkan sebarang perancangan bagi tawaran persendirian itu. Sebelum ini, bank itu mengatakan bahawa ia mempunyai penampan modal yang cukup untuk memperuntukkan RM2.83 bilion bagi pelunasan 1MDB.

 

“Berdasarkan pengiraan kami, kami menjangkakan tawaran persendirian itu akan mencairkan perolehan sesaham (EPS) sebanyak 4% bagi FY22 dan 8.3% bagi FY23, berdasarkan harga andaian RM2.70 sesaham. 

 

“Pencairan itu dinilai tinggi oleh kami kerana Ambank ketika ini didagangkan pada FY21F P / BV akhir rendah 0.55x dan kadar hasil daripada tawaran persendirian itu rendah, dianggarkan 1.94% pada persekitaran kadar faedah yang rendah,” jelas Ng dalam nota kajiannya.

 

Menerusi makluman Ambank di Bursa Malaysia semalam, tawaran persendirian itu mewakili 9.97% daripada modal saham sedia ada untuk mengumpul dana tambahan bagi memperkukuh nisbah modal terasnya, termasuk Common Equity Tier 1 (CET1) dan Total Capital Ratio (TCR).

 

Menerusi makluman berbeza, Ambank juga ketika ini sedang mengkaji muhibahnya dan sebarang kemerosotan (impairment) muhibah itu akan dapat dilihat pada prestasi suku keempat FY21 (4Q21). 

 

Dalam pengiraan Ng, sebanyak 10% kemerosotan muhibah itu akan meningkatkan unjuran kerugian bersih Ambank bagi FY21 sebnayak 8.2%.

 

Jelas Ng, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘kurangkan’ saham Ambank dengan mengambil kira unjuran kerugian bersih FY21 sebanyak RM1.77 billion dan kecairan EPS akibat tawaran persendirian itu sebagai pemangkin untuk semak turun.

 

Senada Ng, MIDF Research melihat Ambank yang terpalit dengan pelunasan 1MDB itu sesuatu yang buruk kerana bank tersebut berjaya mengharungi persekitaran mencabar ekoran pandemik COVID-19.

 

“Kami percaya kedua-dua langkah cadangan itu mempunyai kaitan dengan ini (penyelesaian RM2.83 bilion). Kesan pencairan daripada tawaran persendirian itu merupakan negatif berjangka pendek bagi pandangan kami. 

 

“Oleh itu, kami mengekalkan saranan ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM2.75 berdasarkan BVPS FY22 ke PBV sebanyak 0.5x,” jelas MIDF dalam nota kajian berbeza.

 

Setakat 11.53 pagi, nilai saham Ambank menyusut 5 sen kepada RM2.95. - DagangNews.com