Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Jan. - Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 hingga 4 Februari 2021 dilihat mengganggu ramalan pendapatan CapitaLand Malaysia Mall Trust (CMMT) bagi tahun kewangan 2021.
CGS-CIMB Research berkata, akibat lanjutan PKP 2.0, ramalan pendapatan CMMT dikurangkan sebanyak 9.7%.
"Kami kurangkan ramalan pendapatan bagi tahun kewangan 2021 sebanyak 9.7% bagi menggambarkan potensi bantuan sewa/rebat, penurunan kadar penghuni dan kemungkinan negatif terhadap pembaharuan pajakan yang tamat pada tahun kewangan 2021.
"Secara keseluruhan tahun kewangan 2021-2022, jangkaan perolehan sesaham (EPS) dipotong sebanyak 4% hingga 7%.
"Kami mengganggap margin NPI sebanyak 54% hingga 55% berbanding 51% pada tahun kewangan 2020 bagi utiliti dan kos pemasaran yang lebih rendah," jelas CGS-CIMB Research.
Bagi tahun kewangan 2020, CMMT mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM84.5 juta, manakala keuntungan bersih sebanyak RM59.4 juta.
Pendapatan tahun kewangan 2020 menjunam 24% tahun ke tahun diseret sebanyak RM35 juta dalam jumlah bantuan atau rebat sewa.
Kadar penghuni bagi tahun kewangan 2020 berada pada tahap 86.6% iaitu lebih rendah daripada 93.8% pada tahun kewangan 2019.
Sementara itu, MODF Research dalam nota kajiannya berkata, pendapatan bersih suku keempat tahun kewangan 2020 menurun 52% tahun ke tahun kepada RM15.39 juta sekali gus menjadikan pendapatan terkumpul pada tahun kewangan 2020 adalah sebanyak RM61.1 juta.
MIDF Research bagaimanapun tidak membuat perubahan terhadap ramalan pendapatan CMMT dan mengekalkan harga sasaran sesaham (TP) pada harga RM0.63.
"Kami melihat ramalan pendapatan CMMT kurang baik kerana perolehan sewa adalah negatif dan berpotensi berlaku pengabaian sewa akibat PKP 2.0. Oleh itu, kami mengekalkan saranan 'neutral' saham CMMT," jalas MIDF Research. - DagangNews.com