KUALA LUMPUR 8 Feb. - Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 hingga 18 Februari 2021 dilihat membantu melindungi industri automotif ketika mula mencatatkan pemulihan tahun ini.
Presiden Persatuan Pembekal Perodua (P2SA), Musa Zahidin Ahmad Zaidee berkata, lanjutan tempoh tersebut dijangka mampu mengawal kebimbangan 129 ahli hingga program vaksinasi bermula.
“Kebanyakan ahli kami berada di Selangor, tetapi mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan dengan komunikasi berkesan antara ahli kami dan pengeluar peralatan tulen (OEM) kami, kami percaya kami akan dapat mencatatkan prestasi lebih baik tahun ini.
“Objektif utama kami adalah untuk memastikan keselamatan setiap orang, dan pada masa yang sama melindungi kelangsungan hidup kita.
"Satu-satunya cara untuk mencapainya adalah dengan bekerjasama dengan kerajaan bagi mengurangkan jumlah jangkitan kes COVID-19, terutamanya di kawasan perindustrian,” katanya seperti dilapor Bernama.
P2SA dan Perodua akan bekerjasama untuk mewujudkan SOP bagi keseluruhan ekosistem automotif.
SOP tersebut antara lainnya menggariskan prosedur keselamatan ketat di tempat kerja, asrama pekerja yang menyediakan tempat tinggal yang selamat bagi kakitangan dan menawarkan ujian COVID-19 bergilir bagi kesemua pekerja.
Kesemua vendor juga mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dalam operasi masing-masing.
Pemantauan ketat akan dilakukan oleh sebuah kumpulan yang dianggotai ahli-ahli P2SA serta wakil daripada Perodua.
Tambah beliau, pengumuman Perodua untuk membeli komponen tempatan bernilai RM6.5 bilion pada 2021 iaitu lebih RM500 juta daripada RM6 bilion yang diperuntukkan pada 2020 telah memberi harapan bahawa 2021 akan menjadi tahun pemulihan bagi industri.
"Sasaran jualan keseluruhan industri sebanyak 570,000 oleh Persatuan Automotif Malaysia bagi tahun ini juga merupakan satu lagi petunjuk positif bahawa industri dan ekonomi sedang menujuk ke arah hala tuju yang betul," jelasnya lagi. - DagangNews.com