Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, KLIA terima Akreditasi Kesihatan ACI | DagangNews Skip to main content

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, KLIA terima Akreditasi Kesihatan ACI

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching menerima Akreditasi Kesihatan Lapangan Terbang  (AHA) daripada Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata akreditasi itu merupakan bukti komitmen berterusan pengendali lapangan terbang tersebut bagi memastikan tahap keselamatan tertinggi di lapangan terbangnya.

 

“Antara ciri-ciri baharu yang akan diperkenalkan oleh  KLIA tahun ini, sebagai contoh, adalah pelaksanaan inisiatif  token tunggal yang menggunakan teknologi pengecaman wajah bagi pergerakan perjalanan penumpang tanpa sentuh.

 

“Ini adalah sumbangan kami bagi mengembalikan keyakinan terhadap perjalanan udara dan mempercepatkan lagi pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.

 

Langkah-langkah keselamatan di kedua-dua lapangan terbang itu ditanda aras berbanding standard global mengikut garis panduan Pemulihan dan Pemulaan Perniagaan Penerbangan ACI dan saranan Pasukan Petugas Khas Majlis Pemulihan Penerbangan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), selain amalan terbaik industri.  

 

Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen Malaysia Airports menerima akreditasi yang sama awal tahun ini manakala empat lagi lapangan terbang di Malaysia sedang dinilai untuk akreditasikan.

 

Empat lapangan terbang tersebut ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Subang.

 

Ketua Pengarah ACI Asia-Pasifik, Stefano Baronci berkata akreditasi itu akan berfungsi sebagai jaminan untuk mengingatkan penumpang bahawa lapangan terbang terbabit  melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang diktiraf antarabangsa. 

 

“Pendekatan Malaysia Airports bagi rangkaian lapangan terbangnya untuk memanfaatkan dengan meluas teknologi, robot dan e-dagang akan memastikan lapangan terbang tersebut mempunyai kelebihan apabila perjalanan mula pulih dan disambung semula,” katanya.   

 

Program AHA ditumpukan kepada prosedur dan langkah-langkah kesihatan yang dipraktiskan oleh lapangan terbang. Dengan mendapat akreditasi, lapangan terbang dapat mempamerkan amalan keselamatan mereka secara mantap dan dapat dinilai. - DagangNews.com