Lapor segera pendapatan 2021 sebelum 15 Mei 2022, elak penalti - LHDN | DagangNews Skip to main content

Lapor segera pendapatan 2021 sebelum 15 Mei 2022, elak penalti - LHDN

KUALA LUMPUR 11 Mei - Pembayar cukai yang tidak mempunyai sumber pendapatan menerusi perniagaan dinasihat untuk segera melaporkan pendapatan mereka yang layak dicukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi e-Filing sebelum 15 Mei 2022.

 

LHDN berkata, tindakan itu perlu segera dilakukan bagi mengelakkan sebarang penalti dikenakan akibat lewat mengemukakan Borang Nyata Cukai berkenaan.

 

LHDN memberitahu tarikh akhir mengemukakan Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 (TT 2021) bagi kategori pembayaran cukai individu pemastautin (BorangBE), individu pemastautin berkepakaran (BT), individu bukan pemastautin (M) dan individu bukan pemastautin berkepakaran (MT) adalah Isnin ini.

 

Tarikh sama juga ditetapkan untuk kategori pertubuhan (TF), harta pusaka (TP)dan keluarga sekutu Hindu (TJ).

 

"Pembayar cukai boleh merujuk kepada Program Memfail Borang Nyata bagi 2022 yang boleh diakses dan dimuat turun menerusi pautan https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2022_1.pdf bagi bahasa Melayu dan
https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2022_2.pdf untuk bahasa Inggeris,” kata LHDN dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara itu boleh dikemukakan melalui Care Line di talian 03-89111000 atau 603-89111100 bagi luar negara, Live

 

Chat dan Borang Maklum Balas menerusi portal rasmi LHDNM.

 

LHDN juga memaklumkan bahawa lebih 2.58 juta Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 telah diterima daripada kategori pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan melibatkan sebanyak 96% atau sekitar 2.48 juta borang yang diterima adalah melalui kaedah e-Filing. - DagangNews.com