Laporan IEA : Tiada bukti ketidakpatuhan FGV terhadap amalan buruh  | DagangNews Skip to main content

Laporan IEA : Tiada bukti ketidakpatuhan FGV terhadap amalan buruh 

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Laporan Penilaian Luaran Bebas (IEA), yang dikendalikan Persatuan Keadilan Buruh (FLA) mendapati tiada sebarang ketidakpatuhan buruh ditemui berdasarkan tanda aras FLA dan mereka juga tidak menemui sebarang bukti penggunaan buruh kanak-kanak dalam operasi FGV Holdings Bhd.

 

Laporan tersebut juga mengiktiraf kemajuan yang telah dicapai oleh FGV termasuk komitmen pengurusan tertinggi, penjajaran dasar mengikut piawaian antarabangsa dan nasional, serta penglibatan dengan organisasi masyarakat sivil terutama di peringkat ibu pejabat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd. Nazrul Izam berkata, FGV komited sepenuhnya terhadap agenda hak asasi manusia dan kelestarian serta menumpukan banyak usaha untuk mendukung piawaian buruh.

 

"Ini menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) dalam usaha penghapusan buruh paksa dan buruh kanak-kanak," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

FLA telah menjalankan IEA dari November 2021 sehingga Januari 2022 yang melibatkan penilaian sistem pengurusan dan operasi di peringkat lapangan FGV. 

 

Penilaian tersebut dilaksanakan mengikut Tatakelakuan Tempat Kerja (WCOC) FLA, berdasarkan piawaian buruh antarabangsa dan amalan perburuhan baik yang diterima pakai di peringkat antarabangsa.

 

FGV menyertai FLA pada 2019 dan komited untuk melaksanakan pelan tindakan jangka panjang dan komprehensif untuk mengukuhkan lagi pelbagai aspek dalam amalan buruh FGV. 

 

Ini termasuk penjajaran kod, proses pengambilan pekerja migran, pembinaan kapasiti dan modul latihan mengenai hak asasi pekerja migran, mekanisme aduan serta sistem pemantauan pematuhan standard perburuhan.

 

Kerjasama FGV bersama FLA adalah tertakluk kepada penilaian bebas, pengesahan dan laporan daripada FLA. Berdasarkan laporan ini juga, FLA telah menerbitkan pengesahan laporan yang pertama dan kedua pada Oktober 2020 dan April 2021. 

 

FGV turut berbincang bersama FLA dalam pembangunan pelan tindakan (CAP) untuk mengusulkan dan menyelesaikan segala perkara berbangkit daripada IEA. 

 

Sebahagian besar daripada Pelan Tindakan telah dilaksanakan dan keperluan yang relevan telah dikenalpasti untuk menyelesaikan isu ini.

 

Sebagai sebahagian daripada usaha dalam mengadakan petisyen bagi pembatalan Perintah Penahanan Pelepasan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS), pada November lalu, FGV telah melantik Elevate sebagai organisasi pihak ketiga bebas untuk menjalankan penilaian terhadap operasi FGV berdasarkan 11 Petunjuk Buruh Paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa  (ILO). - DagangNews.com