Laporan nahas LRT dibentang kepada Kabinet esok | DagangNews Skip to main content

Laporan nahas LRT dibentang kepada Kabinet esok

Pelanggaran tren LRT Kelana Jaya.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Dapatan laporan berkaitan insiden pelanggaran tren LRT Kelana Jaya pada 24 Mei baru-baru ini akan dibentangkan kepada Kabinet esok.

 

Perkara tersebut dinyatakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong setelah menerima dan mendengar pembentangan laporan daripada Jawatankuasa Siasatan mengenai insiden berkenaan yang dijalankan secara maya.

 

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong.

 

"Saya berpuas hati dengan laporan oleh Jawatankuasa Siasatan yang terdiri daripada sembilan anggota, diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan yang dibuat secara profesional, komprehensif dalam perinciannya, dan dapat diselesaikan dalam tempoh 14 hari yang diberikan kepada mereka.

 

"Saya berharap dapat membentangkan dapatan laporan ini kepada Kabinet pada hari esok (Rabu) 9 Jun 2021 dengan beberapa cadangan untuk meningkatkan keselamatan dan prosedur operasi standard untuk tren RapidRail.

 

"Pada ketika ini, saya masih meneliti dokumen-dokumen dan hasil penemuan yang diberikan oleh Jawatankuasa Siasatan," jelasnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

 

Baca: 11 hari berlalu, ini perkembangan terkini siasatan nahas LRT

 

Beliau memberitahu, penemuan dan cadangan itu bukan hanya meningkatkan mutu perkhidmatan RapidRail, malah akan meningkatkan infrastruktur perkhidmatan kereta api Malaysia untuk jangka panjang di masa hadapan.

 

Dalam hantaran sama, beliau turut memberi penghargaan tahniah dan syabas kepada pasukan Jawatankuasa Siasatan atas usaha keras dalam kes tersebut.

 

Menurutnya, usaha berkenaan termasuk turun padang ke Pusat Kawalan Operasi (OCC) LRT Kelana Jaya, membuat sesi simulasi di tempat kejadian, temusiasat serta meneliti dokumen-dokumen panduan operasi berkaitan. - DagangNews.com