Laporan Tahunan TNB raih Emas kali ke-4 di Australiasian Reporting Awards 2021 | DagangNews Skip to main content

Laporan Tahunan TNB raih Emas kali ke-4 di Australiasian Reporting Awards 2021


KUALA LUMPUR 14 Sept - Laporan Tahunan Integrasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapat pengiktirafan Anugerah Emas Australasian Reporting Awards (ARA) 2021 pada majlis yang diadakan secara maya dari Sydney, Australia pada 18 Ogos 2021.

 

Kejayaan itu mengulangi pencapaian pada 2017, 2018 dan 2020, selain memperoleh Gangsa pada 2016. TNB tersenarai sebagai penerima Anugerah Emas bersama 69 syarikat antarabangsa lain.

 

ARA yang disertai pelbagai organisasi korporat, agensi kerajaan dan NGO dari serata negara Asia Pasifik ini turut meletakkan TNB sebagai pemenang Anugerah Perak bagi kategori Laporan Kelestarian (Sustainability Reporting) dan Anugerah Khas untuk Laporan Keselamatan dan Kesihatan Kerja (Health & Safety Reporting).

 

Dalam laporan penilaian bagi Anugerah Khas, ARA menyebut Laporan Tahunan Integrasi TNB “menyediakan liputan menyeluruh terhadap polisi pengurusan dan tindakan yang dilakukan bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan warga kerjanya serta membina budaya keselamatan yang kukuh. Ia melaporkan secara jujur kemalangan yang menyebabkan kematian dan kecederaan, serta langkah-langkah yang diambil bagi mengatasinya”.

 

Setiausaha Syarikat TNB, Norazni Mohd Isa menyifatkan anugerah yang diterima sebagai bukti kepada dedikasi, kerja keras dan semangat kerjasama warga TNB bagi mendapatkan hasil yang cemerlang.

 

“Semangat kerjasama adalah satu daripada enam nilai teras TNB yang berfungsi mengeratkan perpaduan antara 35,000 warga kerja TNB menuju ke arah aspirasi yang sama, iaitu menjadikan TNB sebagai pembekal terunggul solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa,” kata Norazni dalam kenyataan di sini hari ini.
 

 

Norazni Mohd Isa
Norazni Mohd Isa

 

 

Anugerah diperkenalkan sejak 1950 itu bertujuan memberi peluang kepada organisasi-organisasi menanda aras laporan tahunan mereka berdasarkan kriteria ARA dengan berpandukan amalan terbaik dunia.

 

Pemenang anugerah dinilai berdasarkan kecemerlangan keseluruhan Laporan Tahunan, penyataan menyeluruh aspek-aspek utama perniagaan teras serta menepati keperluan perundangan dan kawal selia yang ada. - DagangNews.com