Larangan China terhadap penggunaan iPhone dijangka beri impak negatif kepada syarikat teknologi tempatan, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Larangan China terhadap penggunaan iPhone dijangka beri impak negatif kepada syarikat teknologi tempatan, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Sept - Larangan kerajaan China terhadap penggunaan iPhone ke atas pegawainya dan kemunculan telefon pintar baharu Huawei dijangka memberi kesan negatif kepada beberapa syarikat teknologi tempatan.

 

CGS-CIMB Research berkata, berdasarkan unjuran pengeluar cip di peringkat global, permintaan bagi separuh kedua tahun ini adalah lemah kerana kuasa membeli yang kurang tetapi diimbangi peningkatan pelaburan dalam sektor kenderaan elektrik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ketidaktentuan permintaan yang berterusan dalam ruang peranti mudah alih boleh menimbulkan beberapa kejutan menurun kepada pendapatan sekiranya ia mengakibatkan pengurangan pesanan bagi syarikat tempatan.

 

Katanya, antara yang terkesan termasuk Inari Amertron Berhad dan Globetronics Technology Berhad yang mempunyai pendedahan terbesar kepada pasaran telefon mudah alih, khususnya kepada Apple.

 

“Sementara itu, kami percaya Unisem (M) Berhad bakal mendapat manfaat daripada peningkatan penghantaran telefon pintar Huawei berikutan portfolionya yang pelbagai.

 

"Mi Technovation Berhad juga mempunyai pendedahan terbesar kepada segmen telefon mudah alih, walaupun kami melihat impaknya tidak begitu ketara kerana pesanan peralatannya lebih didorong oleh peningkatan ciri berbanding jumlah unit penghantaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

CGS-CIMB berkata, sektor itu didagangkan pada 26.5 kali unjuran harga pendapatan bagi 2024, melebihi purata lima tahun pra-Covid sebanyak 17 kali.

 

“Kami menetapkan penarafan 'tambah' kepada Genetec Technology Berhad (harga sasaran atau TP: RM3.63) kerana pendedahannya yang besar kepada EV dan tenaga boleh diperbaharui, manakala 'kurang' kepada Malaysian Pacific Industries Berhad (TP: RM23.65) dan Unisem (TP: RM2.00).

 

“Risiko peningkatan sektor termasuk pemulihan permintaan yang lebih kukuh daripada jangkaan selain peningkatan pendapatan daripada kejayaan produk baharu dan perang cip antara China-Amerika Syarikat (AS) mereda," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'underweight' untuk sektor itu. - DagangNews.com