Larangan import sawit beri impak terhadap peneroka Felda | DagangNews Skip to main content

Larangan import sawit beri impak terhadap peneroka Felda

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Rundingan Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO)  menyifatkan larangan mengimport produk FGV Holdings oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat bakal memberi impak terhadap peneroka dan pekerja-pekerja ladang.

Sebanyak dua per tiga bekalan buah tangan segar (FFB) keluaran FGV dibekalkan oleh peneroka Felda yang dianggarkan memiliki keluarga lebih 112,000 orang.

RSPO meminta kerajaan AS dan CBP untuk bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi melakukan penilaian risiko sepenuhnya mengenai kesan sebarang sekatan terhadap kumpulan terjejas itu.

Malah, badan pengawas industri minyak sawit global itu juga menyeru supaya kerajaan AS dan CBP untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia ke arah hasil positif yang membolehkan kedua-dua negara memenuhi komitmen mereka terhadap Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketua Pegawai Eksekutif RSPO, Beverley Postma (Gambar) berkata pelanggaran hak asasi manusia tetap menjadi salah satu cabaran paling sukar dalam rantaian bekalan komoditi.

Beliau menegaskan, pihaknya mengecam penggunaan buruh paksa atau kanak-kanak atau bentuk perhambaan moden lain dalam mana-mana anggota perladangan yang diperakui atau tidak disahkan.

"Kami sangat yakin bahawa rangkaian standard baharu kami, yang diguna pakai oleh anggota kami pada 2018, tetap menjadi sistem terbaik untuk membantu membasmi masalah ini dan kami komited untuk menyokong proses penambahbaikan berterusan.

"Misi RSPO adalah mentransformasikan pasaran untuk menjadikan minyak sawit lestari sebagai norma," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Postma berkata, RSPO lebih dari sekadar pengawas industri dan akan terus bekerjasama untuk memberikan kesan positif dan lestari, bukan hanya untuk hutan hujan dan spesies terancam di dalamnya, tetapi untuk masyarakat yang bergantung kepada tanaman itu sebagai mata pencarian dan masa depan mereka.

RSPO mengambil maklum Perintah Pelepasan Tahan (WRO) CBP AS terhadap produk yang diimport ke AS dari FGV, tetapi melahirkan rasa bimbang mengenai impak perintah itu terhadap pekebun kecil dan pekerja.

Badan pengawas industri minyak sawit global itu menegaskan ia mempunyai toleransi sifar terhadap amalan yang dijelaskan dalam kenyataan akhbar CBP dan artikel Associated Press.

"Walaupun ia bukan masalah baharu, inilah sebabnya mengapa perlindungan hak asasi manusia begitu tertanam dalam Prinsip dan Kriteria RSPO ( P&C) 2018.

"RSPO akan mempertahankan sekatan yang ada terhadap FGV dan terus bekerjasama dengan mereka untuk meningkatkan kemampuan mereka bagi memenuhi piawaian kami mengenai perlindungan manusia dan sosial," katanya.

"Awal tahun ini, RSPO menggantung sijil FGV kerana pelanggaran di kilang sawit Serting. Kami telah berhenti memproses pensijilan semua unit lain yang tidak disahkan sehingga arahan seperti yang dinyatakan dalam keputusan Panel Pengaduan bertarikh 28 November 2018 dilaksanakan sepenuhnya," ujarnya.

RSPO juga menyarankan mana-mana organisasi atau agensi yang mempunyai maklumat tambahan mengenai pelanggaran hak asasi manusia atau pelanggaran P&C RSPO yang terdapat di ladang anggota RSPO untuk mengemukakan aduan rasmi melalui sistem aduannya. - DagangNews.com