TAIPING 19 Sept - Penganjuran Larian Amal Toyo Tyres 2023 mencapai matlamat apabila dana sebanyak RM50,000 berjaya dikumpul untuk disumbangkan kepada lima buah rumah kebajikan di daerah ini.
Antaranya Rumah Kebajikan Chrystal Home, Pertubuhan Pengurusan Rumah Anak-Anak Yatim dan Miskin Anning, Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Emmanuel, Sekolah Menengah Hua Lian dan Persatuan Kebajikan Anak Yatim Nur Hidayah.
Setiap rumah kebajikan ini menerima sumbangan sebanyak RM10,000.
Toyo Tyre Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, Larian Amal Toyo Tyres 2023 yang merupakan penganjuran kali ketiga mengumpulkan 1,200 peserta.
Menurut kenyataan itu, penganjuran ini juga memberi makna setelah tiga tahun tertunda disebabkan pandemik Covid-19.
"Selepas berjaya mengadakan larian amal pada tahun 2018 dan 2019 yang menyaksikan lebih daripada 1,000 penyertaan, jumlah yang menyertainya telah meningkat.
"Larian amal ini kembali lagi dengan sokongan yang lebih besar daripada masyarakat walaupun berehat panjang selama tiga tahun akibat pandemik.
"Dalam tempoh dua bulan pendaftaran dibuka ia telah menarik kira-kira 2,000 peserta," ujar kenyataan itu.
Dengan tema 'Keep FIT', penyertaan pelbagai lapisan masyarakat membuktikan kesediaan mereka untuk berbakti membantu golongan memerlukan.
Toyo Tyre Malaysia telah menaja sepenuhnya untuk acara ini yang menelan belanja sebanyak RM120,000.
Terdahulu, pelepasan peserta telah dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Perak, Teh Kok Lim.
Turut hadir Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Nasrun Menhat; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Malaysia, Mike Toh Poh Keong. - DagangNews.com