UMUM mengetahui kemahiran insaniah yang juga dikenali sebagai kemahiran “soft skills” atau “people skills” merupakan kemahiran yang melibatkan interaksi sosial, kepimpinan, komunikasi dan juga kemahiran interpersonal yang sangat penting dalam pelbagai situasi terutamanya dalam konteks latihan industri dan alam pekerjaan.
Antara elemen kemahiran insaniah yang lain termasuklah kemahiran kerja berpasukan, kemahiran pemikiran kritis dan penyelesaian masalah, kemahiran kepimpinan dan juga etika dan moral profesional.
Nilai tambah ini perlu dimiliki dan digarap dengan baik oleh setiap mahasiswa sebagai persediaan untuk memulakan alam pekerjaan. Manakala latihan industri atau juga dikenali sebagai program praktikal, memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendapatkan pengalaman bekerja praktikal dalam bidang yang berkaitan dengan bidang pengajian mereka.
Justeru itu kemahiran insaniah merupakan komponen penting dalam menjamin kejayaan mahasiswa ketika menjalani latihan industri.
Mahasiswa perlu bersifat proaktif dan menyeimbangkan pencapaian mereka sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Penglibatan mereka dalam aktiviti kelab, persatuan, kesukanan dan pelbagai aktiviti sosial seperti pertandingan yang dianjurkan di dalam dan luar universiti secara tidak langsung akan membantu dalam meningkatkan kemahiran insaniah mereka.
Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti-aktiviti seperti ini akan memberi impak yang besar dalam pembangunan kompetensi diri.
Melalui latihan industri, mahasiswa berpeluang untuk mengembangkan kemahiran insaniah yang telah mereka perolehi semasa belajar di institusi pengajian tinggi.
Oleh itu, mahasiswa tidak seharusnya leka malah perlu bijak menerokai peluang untuk mengasah kemahiran insaniah mereka semasa menjalani latihan industri.
Ilmu dan pengalaman yang mereka peroleh ini akan memudahkan mereka untuk mendepani pelbagai isu dan cabaran apabila berhadapan dalam bidang pekerjaan sebenar.
Berdasarkan data daripada Future of Jobs Report 2020, World Economic Forum, kebolehan untuk berfikir secara kreatif, kebolehan menyelesaikan masalah, kemahiran dalam penggunaan teknologi, berinovasi dan mempunyai sifat kepimpinan adalah merupakan antara elemen kemahiran penting (top skill) yang amat diperlukan sehingga ke tahun 2025 akan datang.
Ini secara tidak langsung menjadi garis panduan kepada para mahasiswa untuk memperkasakan lagi kemahiran insaniah.
Antara beberapa elemen kemahiran insaniah dan juga pengukuran utama yang perlu diberi perhatian oleh mahasiswa semasa menjalani latihan industri termasuklah:
Aplikasi Pengetahuan dan Kemahiran
Mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam menyempurnakan tugas yang diberikan oleh majikan. Mahasiswa perlu berusaha untuk memastikan tugas yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik dan mengambil kira pelbagai aspek pemikiran dan pengetahuan yang dimiliki semasa belajar di universiti. Namun tidak dinafikan, tidak semua ilmu yang dipelajari akan diguna pakai semasa latihan industri. Apapun, mahasiswa perlu mengambil sikap pro aktif dan cepat belajar terhadap ilmu-ilmu baru yang digunakan.
Berfikiran Kreatif
Kebolehan berfikir secara kreatif juga amat digalakan dalam sebarang keputusan atau permasalahan semasa menjalani latihan industri. Elemen ini amat dititikberatkan oleh majikan dalam menilai kemampuan pemikiran mahasiswa. Mahasiswa harus mampu menghasilkan idea-idea baru dan berupaya berfikir diluar batasan konvensional. Sebagai contohnya, mahasiswa boleh mencadangkan beberapa pengisian seperti aktiviti sukaneka, pertandingan, dan bentuk sumbangan dalam program khidmat masyarakat yang dianjurkan oleh syarikat atau organisasi.
Cadangan dan Idea
Mahasiswa juga perlu berupaya dalam mengutarakan cadangan dan menyalurkan buah fikiran atau idea yang bernas terhadap pelbagai masalah dan isu yang berlaku di tempat kerja. Idea boleh disalurkan sama ada secara bertulis ataupun secara oral kepada majikan dan rakan sekerja. Mahasiswa tidak wajar mengamalkan sikap berdiam diri atau hanya menjalankan kerja setelah menerima arahan semata-mata. Perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan melibatkan diri dalam apa jua perbincangan yang diperlukan oleh majikan.
Etika Kerja
Etika Kerja yang merangkumi sifat kejujuran dan kebolehpercayaan yang tinggi juga elemen penting yang perlu diberi penekanan oleh setiap mahasiswa. Mahasiswa perlu memastikan mereka tidak sekali-kali melanggar peraturan, terlibat dengan salah laku di tempat kerja dan tidak mematuhi etika kerja. Ini akan memberi gambaran yang negatif, bukan sahaja kepada diri sendiri malahan turut memberi kesan kepada nama baik institusi pengajian mereka.
Adab dan Penampilan Diri
Adab dan penampilan diri seperti cara berpakaian, cara bercakap juga perlu dipandang berat kerana ia mencerminkan keperibadian tinggi seseorang. Sikap tidak hormat kepada rakan sekerja atau majikan akan mengundang kepada ketidakpuasan hati pelbagai pihak. Mahasiswa perlu menjaga tuturkata, tahu menghormati orang lain dan tidak mementingkan diri sendiri. Ini kerana sepanjang menjalani latihan industri, mahasiswa sebenarnya melalui proses pemerhatian dan penilaian oleh majikan. Adab dan akhlak yang baik sudah semestinya penting bagi memastikan segala urusan di tempat latihan industri berjalan dengan lancar tanpa sebarang konflik.
Waktu Kerja
Mematuhi waktu kerja juga penting. Ini kerana ada sesetengah mahasiswa tidak cakna tentang ketepatan masa di tempat kerja. Sikap sering memberi alasan tidak wajar diteruskan. Sebaliknya mahasiswa perlu matang dan pandai mengurus masa seperti memastikan tempat kediaman yang berdekatan dengan tempat latihan industri, tiada masalah pengangkutan dan sebagainya. Ini sewajarnya dirancang daripada awal sebelum memulakan latihan industri bagi mengelakkan kelewatan sampai di tempat kerja.
Komunikasi dan Interaksi
Kemahiran dan kecekapan dalam komunikasi adalah nilai tambah kepada mahasiswa di tempat latihan industri. Sering kali mahasiswa yang menonjol daripada segi komunikasi akan terpilih untuk mengendalikan majlis-majlis penting dalam syarikat, dipilih sebagai jurucakap dan bekerjasama dengan pekerja sedia ada dalam menganjurkan pelbagai program atau aktiviti. Peluang seperti ini harus diambil kerana ia akan membantu pelajar untuk meningkatkan keyakinan diri seraya mendidik mahasiswa tentang cara-cara berkomunikasi atau interaksi yang bersesuaian dengan situasi sama ada dengan majikan, rakan sekerja mahupun pelanggan.
Sebagai kesimpulannya, mahasiswa sewajarnya memanfaatkan ilmu dan pengalaman sepanjang menjalani latihan industri kerana ia sangat berguna dalam mematangkan diri mereka, terutama apabila mereka menceburi bidang pekerjaan sebenar.
Jadikanlah setiap teguran, nasihat dan cadangan yang diterima daripada majikan sebagai garis panduan dan bekalan di masa akan datang.
Apa yang lebih menggembirakan apabila mahasiswa dipelawa untuk mengisi kekosongan jawatan yang ada dalam organisasi selepas tamat tempoh latihan industri.
Tempoh latihan industri yang rata-rata mengambil masa 4 hingga 6 bulan amat sesuai dan mencukupi dalam mempersiapkan mahasiswa untuk memperkasakan kemahiran insaniah mereka. - DagangNews.com